Cuepacs tak sokong mogok tapi nyata solidariti doktor kontrak

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

IPOH - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan tindakan mogok yang mahu dilakukan doktor kontrak.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tindakan mogok tersebut hanya merugikan kerjaya mereka sebagai doktor kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah perkhidmatan awam.

Menurut beliau, kumpulan terbabit juga tidak ada 'local standi' untuk mengambil tindakan perusahaan seperti mogok dan sebagainya kerana mereka tidak berpersatuan.

"Cuepacs berpendirian, kita bersolidariti tentang perkara ini tetapi pada masa yang sama kami ingin menasihatkan pihak-pihak yang berada dalam kumpulan yang ingin meneruskan tindakan mogok yang boleh menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kerajaan kepada rakyat, bahawa kami tidak bersetuju.

"Tindakan (mogok) itu telah mendedahkan mereka ini kepada tindakan-tindakan dan peraturan-peraturan dalam perkhidmatan awam dan akhirnya boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka yang telah pun ada dalam sistem perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika Program Ihya Ramadan Gotong-royong Memasak dan Edaran Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Negeri Perak di Anjung AUEGCAS Perak di sini pada Isnin.

Adnan (kanan) ketika Program Ihya Ramadan Gotong-royong Memasak dan Edaran Bubur Lambuk AUEG AS Negeri Perak di Anjung AUEGCAS Perak di sini pada Isnin.
Adnan (kanan) ketika Program Ihya Ramadan Gotong-royong Memasak dan Edaran Bubur Lambuk AUEG AS Negeri Perak di Anjung AUEGCAS Perak di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Adnan turut meminta kerajaan melihat secara adil kepada semua skim perkhidmatan kesihatan bertaraf kontrak yang lain.

Jelasnya, pihak Cuepacs juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan berhubung isu berkenaan

"Skim perkhidmatan kontrak ini terdapat juga skim perkhidmatan yang lain yang mana jawatan tersebut mungkin jururawat, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknik makmal perubatan pergigian dan sebagainya mungkin pembantu tadbir kontrak dalam perkhidmatan kesihatan ini.

"Ini bermakna lantikan kontrak banyak dan terdapat dalam semua skim perkhidmatan, kenapa hartal doktor ini yang boleh menjadi begitu gempar sehinggakan terpaksa mengambil tindakan yang mereka sendiri tak ada local standi," katanya.

Sementara itu, Adnan turut menggesa badan profesional perubatan supaya menggembleng tenaga untuk mengatasi masalah tersebut dan bukan sahaja dari pihak kerajaan semata-mata.

Katanya, badan profesional tersebut juga perlu merancang dan mencadangkan pasaran pekerjaan tersebut mampu untuk diwujudkan di peringkat swasta tanpa terlalu bergantung kepada perkhidmatan awam semata-mata.