Sanusi tunjuk bukti tanah rizab Melayu di Kedah meningkat

Rekod tanah Rizab Melayu di Kedah yang dikongsikan Muhammad Sanusi di Facebooknya pada Ahad.
Rekod tanah Rizab Melayu di Kedah yang dikongsikan Muhammad Sanusi di Facebooknya pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan tanah rizab Melayu di negeri yang dipimpinnya menurun seperti diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini.

Beliau sebaliknya berkata, rekod Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) mendapati berlaku peningkatan kepada jumlah keluasan tanah rizab berkenaan.

Jelasnya, keluasan asal tanah rizab Melayu di Kedah pada 1933 ialah 721,496.949 hektar.

"Dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang dicabut keluar adalah 4,751.369 hektar dan diganti balik seluas 5,160.034 hektar.

"Ini menjadikan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.613 hektar.

"Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan tanah rizab Melayu lebih kurang 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan 1933.

"Inilah keluasan yang direkodkan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah. Inilah angka yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Nik Nazmi pada di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu memaklumkan, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurun antara tahun 2021 dan 2022.

Beliau menjelaskan, tanah rizab Melayu di Kedah berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang memintanya menyatakan berapa jumlah keluasan asal tanah rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan rancangan kerajaan untuk mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam hantaran sama turut menyindir Nik Nazmi yang didakwa tidak menyatakan rekod sebenar keluasan tanah rizab tersebut.

"Hello my friend, next time you try harder aaa.. and dont play play (Hello kawan saya, lain cuba kuat lagi, jangan main-main," katanya.

INFO PERBANDINGAN TANAH RIZAB MELAYU DI KEDAH:

NIK NAZMI - Berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar (2021 - 2022)

MUHAMAD SANUSI - 721,905.613 hektar (Januari 2023)