Pemandu maut lori terbabas masuk kolam

Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat. - Foto JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat. - Foto JBPM
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas ke dalam kolam di sebuah kawasan kilang dekat jalan pintasan Sungai Ular di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Mohd Azrifazrin Abdul Razak, 35, beralamat Kampung Baru Cherating dekat sini mengalami kecederaan pada bahagian dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu yang datang dari arah kawasan tempat memproses bahan mineral batu/ besi/bauksit dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori itu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam kolam (berdasarkan keterangan saksi awam yang melihat bagaimana kejadian berlaku).

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Foto JBPM

Wan Mohd Zahari berkata, bedah siasat akan dijalankan selepas memperoleh keputusan ujian swab Covid-19.

"Kenderaan akan dibawa ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai lapan anggota dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.02 pagi, Isnin.

"Sampai di lokasi terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori tanah yang terjatuh ke dalam kolam dan seorang lelaki meninggal dunia

"Anggota bomba terlibat mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.