Tempahan kereta sewa penuh sejak awal Ramadan

SHAH ALAM - Perkhidmatan kereta sewa untuk kegunaan sempena cuti perayaan Aidilfitri sudah penuh ditempah sejak satu Ramadan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Qaiser Auto Mall, Mohd Fauzi Che Roas berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) mendapat permintaan tinggi ekoran kebanyakan pelanggan mempunyai ahli keluarga ramai selain mementingkan keselesaan ketika perjalanan jauh.
"Hari pertama Ramadan (23 Mac), pelanggan sudah mula buat tempahan (kereta sewa) untuk pulang ke kampung. Kereta paling 'laku' adalah Perodua Alza dan Proton Ezora.
"Selain itu kereta kompak (seperti) Perodua Myvi juga ada permintaan, kebanyakannya pelajar (yang akan sewa). Mereka akan 'car pool' dengan rakan-rakan sekampung untuk lebih jimat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.