30 lori tangki air digerakkan bantu pengguna terjejas

Lori tangki air diatur gerakkan ke kawasan penduduk yang terjejas di daerah Manjung dan Perak Tengah berikutan paip air mentah terputus akibat pergerakan tanah di Loji Rawatan Air Teluk Kepayang dekat Bota sejak Jumaat lalu. - Foto ihsan pembaca
Lori tangki air diatur gerakkan ke kawasan penduduk yang terjejas di daerah Manjung dan Perak Tengah berikutan paip air mentah terputus akibat pergerakan tanah di Loji Rawatan Air Teluk Kepayang dekat Bota sejak Jumaat lalu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Sebanyak 30 lori tangki air digerakkan ke kawasan terlibat bagi memberi bantuan bekalan air kepada pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah berikutan paip air mentah terputus akibat pergerakan tanah di Loji Rawatan Air Teluk Kepayang dekat Bota.

Lembaga Air Perak (LAP) dalam kenyataan memaklumkan, 48 unit tangki statik turut ditempatkan bagi membantu 79,360 akaun yang terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

"Bantuan lori tangki diterima dari Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

"Selain itu, Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (RSAJ), Syarikat Air Terengganu (SATU), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut bantu mengagihkan air bersih ke kawasan terlibat," katanya di sini pada Ahad.

Sinar Harian melaporkan gangguan bekalan air itu melibatkan 69,700 akaun di kawasan Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar dan seluruh Lekir ke Kayan di daerah Manjung.

Sebanyak 6,990 akaun terjejas di daerah Perak Tengah melibatkan kawasan Seberang Perak, Changkat Lada, Kampong Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis.

Insiden itu berlaku sejak jam 10 pagi pada Jumaat sehingga kini.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pemasangan 'endcap' paip 900 milimeter (mm) dan 1,200mm telah siap pada Sabtu.

"LAP cuba menjalankan pam air mentah namun berlaku 'tripping' pada bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Siasatan mendapati berlaku litar pintas pada kabel utama ke pencawang TNB di muka sauk (intake)," katanya.

Menurut LAP, keseluruhan kerja-kerja pembaikan berjalan sekitar 50 peratus dan pemulihan bekalan air pengguna dijangka mengambil masa sehingga lapan hari.

"Kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi mengawal pergerakan tanah telah siap sekitar jam 5 pagi (Ahad). Dua batang paip baru 1,200mm telah dipasang dan kerja welding sedang dijalankan.

"Kerja memotong dan mengeluarkan paip lama berjalan 30 peratus yang mana kerja ini perlu dijalankan dengan berhati-hati kerana terdapat kabel TNB yang menggunakan laluan bawah tanah yang sama dengan paip," katanya.