Paip putus: Hampir 80,000 premis alami gangguan air

Kenyataan LAP dan pergerakan tanah di muka sauk telah mengalihkan kedudukan paip hingga berlaku gangguan bekalan air di dua daerah. - Foto ihsan pembaca (Gambar kecil: Kenyataan LAP)
Kenyataan LAP dan pergerakan tanah di muka sauk telah mengalihkan kedudukan paip hingga berlaku gangguan bekalan air di dua daerah. - Foto ihsan pembaca (Gambar kecil: Kenyataan LAP)
A
A
A

LUMUT - Sebanyak 79,360 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air sejak Jumaat selepas paip bagi menyalurkan air bersih terputus.

Gangguan itu melibatkan kawasan Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar dan seluruh Lekir ke Kayan di daerah Manjung.

Di daerah Perak Tengah pula melibatkan kawasan Seberang Perak, Changkat Lada, Kampong Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis.

Menurut kenyataan Lembaga Air Perak (LAP), Loji Rawatan Air di Teluk Kepayang, Bota telah menghentikan penyaluran air sejak jam 12.40 tengah hari berikutan berlakunya pergerakan tanah di muka sauk (intake).

"Keadaan itu telah mengalihkan kedudukan paip air mentah bersaiz 1,200 milimeter (mm) diameter di dalam tanah menyebabkan paip tersebut putus dan air mentah tidak dapat disalurkan ke loji rawatan air," katanya.

Tambahnya lagi, kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan loji untuk beroperasi pada kadar 30 peratus.

"Bagi pengoperasian sepenuhnya loji rawatan air dijangka siap pada Isnin ini dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat.

"LAP telah mula menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat bagi agihan bekalan air bersih dan para pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah," katanya.