8,500 kg minyak masak peket dirampas dalam ladang sawit

KPDN Kelantan merampas 8,500 kg minyak masak peket yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran pada Sabtu.
KPDN Kelantan merampas 8,500 kg minyak masak peket yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran pada Sabtu.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kemahang 3 dan merampas 8,500 kilogram (kg) minyak masak peket yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran pada Sabtu.

Dalam serbuan pada jam 10 malam itu, sekumpulan penyeludup yang leka memunggah kotak-kotak mengandungi minyak masak tersebut terus bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota KPDN.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan sepasukan anggota telah mengekori sebuah lori jenis Isuzu yang disyaki membawa barangan bersubsidi itu dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.

"Kami terus mengekori lori tersebut sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit. Hasil intipan yang dilakukan kami mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak-kotak di kawasan berkenaan.

"Anggota kemudian bertindak menyerbu lokasi, namun beberapa lelaki yang terlibat telah bertindak melarikan diri ke arah semak berhampiran sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota KPDN," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas lori telah menjumpai 8,500 (kg) minyak masak peket berada dalam keadaan tersusun rapi.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kereta jenis Proton Waja yang turut berada di kawasan terbabit membawa kepada penemuan kotak berisi minyak masak peket.

Azman memberitahu, siasatan awal mendapati kawasan ladang kelapa sawit itu dipercayai dijadikan sebagai tempat transit sementara sebelum dibawa ke negara jiran menggunakan laluan tidak sah.

"Modus operandi yang digunakan ialah membawa masuk bekalan dari luar Kelantan dan disimpan di satu kawasan sebelum diangkut ke sempadan.

"Kita turut menemui dua buah motosikal disyaki milik individu-individu yang melarikan diri itu dan pasukan telah bertindak menyita kesemua barangan untuk siasatan lanjut," katanya.

Ujar beliau, nilai rampasan barang kawalan dianggarkan berjumlah RM21,250.