'Kerajaan Perpaduan di Melaka bantu mudahkan penerimaan'

Ab Rauf yang baru mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka mengesahkan negeri itu bakal membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaksanakan di peringkat persekutuan. - Foto Facebook/Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf yang baru mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka mengesahkan negeri itu bakal membentuk Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaksanakan di peringkat persekutuan. - Foto Facebook/Ab Rauf Yusoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Ketua Menteri Melaka ke-13, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa konsep kerajaan perpaduan akan dilaksanakan dalam pembentukan kerajaan negeri, dilihat bertepatan dengan hala tuju politik semasa.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamad berkata, komposisi yang sama dengan kerajaan persekutuan pastinya akan membantu memudahkan penerimaan masyarakat serta memastikan perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih baik.

"Kenyataan Ketua Menteri konsisten dengan apa yang dibawa kerajaan persekutuan kerana kerajaan persekutuan dibentuk berdasarkan konseo perpaduan.

"Sudah tentu kerajaan negeri perlu ada komposisi sama bagi memudahkan penerimaan masyarakat yang melihat perlu ada kesinambungan kepimpinan persekutuan dan negeri.

"Dengan komposisi perpaduan, maka sokongan kepada Ketua Menteri lebih tinggi dan lebih utama, semua agenda penting dalam memastikan perkhidmatan lebih baik diberikan, lebih mudah untuk dilaksanakan," katanya ketika muncul dalam Buletin Awani pada Sabtu.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) juga jelas Murthada, akan memberi signal sokongan yang berterusan dan memastikan kerajaan perpaduan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Dalam membuat percaturan dalam kalangan ADUN perlu meletakkan, walaupun PH tidak memiliki jumlah kerusi yang banyak, hanya empat, tetapi jumlah ini jika diberi peluang kepada mana-mana anggota ADUN PH menganggotai jawatan exco, ini akan memastikan sokongan terus diberikan.

"Dalam masa yang sama, perlu lihat jangka masa panjang, mungkin kerajaan nak memastikan kerajaan perpaduan berkekalan pada masa akan datang," ujarnya.

Ab Rauf yang baru mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka pada Jumaat, mengesahkan negeri itu bakal membentuk Kerajaan Perpaduan, seperti yang dilaksanakan di peringkat persekutuan. - Awani