Tanggungjawab negara terhadap vape

Kerajaan memperkenalkan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap ml bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin pada Sabtu. - Gambar hiasan
Kerajaan memperkenalkan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap ml bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN kerajaan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin pada Sabtu menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Ia kerana, pelaksanaan cukai itu disambut dalam keadaan tiada sebarang akta baharu berhubung kawalan terhadap produk itu diperkenalkan.

Perkara tersebut turut mendapat kritikan daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar.

Menurut beliau, meskipun kerajaan pada pentadbiran sebelum berhasrat untuk mengenakan cukai berhubung produk cecair vape, mereka cuba mengusulkannya sekali di bawah Akta Kawalan Merokok, namun tidak sempat diluluskan

Jelasnya, dengan adanya satu sistem kawalan, ia dapat memastikan sebarang risiko yang berpunca daripada barangan tersebut dapat diatasi sekiranya pengecualian itu dibuat.

Isu pengecualian tersebut bagaimanapun mendapat perhatian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana menterinya, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan satu rang undang-undang mengenai kawalan terhadapnya akan dibentangkan tidak lama lagi.

Ujar Zaliha, beliau mengambil maklum atas kebimbangan, reaksi dan maklum balas yang diterima daripada ramai pihak berhubung perkara itu.

Satu sesi libat urus telah diadakan dengan pihak berkepentingan berkaitan mengenai rang undang-undang baru ini, yang akan merangkumi dasar seperti generasi penamat rokok (Generational EndGame).

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, tidak kira apa jenis produk nikotin, ia tidak sesekali dipandang sebagai satu barangan yang mempunyai nilai faedah tinggi terutama Vape.

Ketiadaan sebarang akta yang mengawalnya pasti akan mengundang impak bahaya yang tidak terjangkau pada masa akan datang.

Manakan tidak, ketika ini, produk itu sahaja telah memiliki cukup ramai pengguna terutama daripada kalangan generasi muda.

Oleh itu, sebarang justifikasi undang-undang yang teliti perlu diperhalusi bagi memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak baik.