Petunjuk ekonomi utama berkembang sederhana pada Januari

Petunjuk ekonomi utama Malaysia terus berkembang sederhana pada Januari 2023, walaupun dalam keadaan konflik geopolitik dan peningkatan inflasi yang berterusan dalam ekonomi global. - Gambar hiasan
Petunjuk ekonomi utama Malaysia terus berkembang sederhana pada Januari 2023, walaupun dalam keadaan konflik geopolitik dan peningkatan inflasi yang berterusan dalam ekonomi global. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petunjuk ekonomi utama Malaysia terus berkembang sederhana pada Januari 2023, walaupun dalam keadaan konflik geopolitik dan peningkatan inflasi yang berterusan dalam ekonomi global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah perdagangan negara mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus pada Januari 2023 kepada RM207.5 bilion berbanding RM203.6 bilion pada Januari 2022.

"Eksport meningkat 1.6 peratus kepada RM112.8 bilion, manakala import berkembang 2.3 peratus kepada RM94.7 bilion.

"Sementara itu, lebihan dagangan menyusut sebanyak 2.1 peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM18.2 bilion," katanya dalam kenyataan pada Sabtu, bersempena pengumuman Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Vol 3/2023.

Selain itu, prestasi perdagangan Malaysia pada Februari 2023 menokok 11.0 peratus atau RM20.3 bilion berbanding Februari 2022 kepada RM205.0 bilion. Eksport meningkat 9.8 peratus kepada RM112.3 bilion dan pertumbuhan import terus mengatasi pertumbuhan eksport, naik 12.4 peratus kepada RM92.7 bilion.

"Imbangan perdagangan kekal dalam lebihan RM19.6 bilion, walaupun susut 1.3 peratus daripada tahun sebelumnya.”

Beliau juga menyatakan bahawa nilai jualan sektor pembuatan Malaysia bertambah sederhana sebanyak 6.5 peratus kepada RM148.0 bilion pada Januari 2023 berbanding 8.8 peratus yang disaksikan semasa bulan sebelumnya.

"Momentum positif yang berterusan ini telah disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.0 peratus) serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik (10.1 peratus).

Artikel Berkaitan:

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia tumbuh sederhana 1.8 peratus pada Januari 2023 berbanding 2.9 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi sebahagiannya oleh pertumbuhan output yang agak perlahan dalam sektor pembuatan dan output elektrik mencatatkan penyusutan sebanyak 4.3 peratus.

Sementara itu, pengeluaran perlombongan berkembang 5.9 peratus.

Beliau juga menambah, nilai jualan perdagangan borong dan runcit di Malaysia adalah RM135.1 bilion pada Januari 2023, dengan pertumbuhan 12.4 peratus.

Peningkatan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang melonjak sebanyak RM10.6 bilion atau 21.7 peratus kepada RM59.6 bilion.

Kenderaan bermotor dan perdagangan borong juga menokok, masing-masing kepada 20.1 peratus kepada RM15.2 bilion dan 3.1 peratus kepada RM60.4 bilion.

Daripada perspektif harga, inflasi Malaysia pada Januari 2023 mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan sebanyak 3.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022.

"Pertumbuhan inflasi ini masih didorong oleh tiga kumpulan utama iaitu restoran dan hotel (6.8 peratus), makanan serta minuman bukan alkohol (6.7 peratus) dan pengangkutan (4.0 peratus).

Bagi Februari 2023, inflasi Malaysia kekal pada 3.7 peratus.

"Momentum pemulihan dijangka berterusan pada bulan-bulan berikutnya walaupun pada kadar yang lebih perlahan, berikutan impak ke atas sektor pelancongan Malaysia susulan pembukaan semula sempadan China serta pemulihan berterusan dalam pasaran buruh,” kata Mohd Uzir. - Bernama