Tambah depoh galak penghasilan lateks

Ahmad Zahid ketika ditemui di Bagan Datuk.
Ahmad Zahid ketika ditemui di Bagan Datuk.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan memberi tumpuan terhadap penghasilan susu getah atau lateks berbanding getah beku bagi kegunaan industri tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk memperbanyakkan depoh untuk pengumpulan bagi pengeluaran getah lateks.

"Saya akan berikan keprihatinan terhadap pengeluaran lateks dengan mewujudkan lebih banyak depoh pengeluaran lateks walaupun getah beku masih dikeluarkan.

"Kita harus mengambil peranan kerana sebanyak RM3 bilion digunakan untuk mengimport getah lateks dari luar negara bagi kegunaan industri tempatan," katanya kepada pemberita pada Majlis Tadarrus al-Quran Perdana sempena Ramadan di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan harga getah kekal kompetitif.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, harga lantai getah boleh ditingkatkan sekiranya lateks mendapat permintaan tinggi.

"Jika lateks dikeluarkan lebih banyak dan tentunya apabila permintaan tinggi seterusnya harga akan meningkat.

"Dari segi jangka panjangnya, usaha-usaha dilakukan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (Risda) dalam meningkatkan harga lantai lebih tinggi daripada apa yang ada di pasaran negara," katanya.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga lantai getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram menerusi Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Sebelum itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia merupakan pengeluar getah terbesar di dunia masih mengimport kira-kira 80 peratus lateks.

Getah beku lebih popular dalam kalangan penoreh getah kerana proses penghasilannya yang mudah berbanding lateks yang lebih rumit.