NUBE gesa pihak bank contohi kerajaan Selangor

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua pegawai eksekutif bank perlu mencontohi kerajaan Selangor yang bertanggungjawab secara sosial dalam memberikan tambahan gaji sebulan atau RM1,000 sebagai bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada kesemua penjawat awam negeri itu susulan keuntungan tiga tahun lalu.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, sektor swasta khususnya industri yang mengaut keuntungan yang besar dan menggunakan sumber sedia ada harus mencontohi negeri tersebut.

Menurutnya, bantuan itu adalah seiring dengan gagasan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf dan mengakui akan keperluan amat mendesak untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah (B40) di Malaysia.

“Mereka sepatutnya berusaha untuk melakukan yang lebih baik daripada perkhidmatan awam.

“Bank di Malaysia mengaut keuntungan berbilion ringgit dan sepatutnya tiada masalah untuk menghulurkan bantuan sedemikian bagi membolehkan umat Islam menikmati sambutan Aidilfitri dengan tenang,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Solomon mengulas, Indonesia yang majoriti penduduknya turut menyambut perayaan tersebut turut mewajibkan majikan membayar pekerja dengan tambahan sebulan gaji.

Tambahnya, bank di Indonesia juga mencatatkan keuntungan cemerlang seperti yang disaksikan Malaysia dengan membayar dua bulan kepada pekerja mereka.

“Inilah masa mereka, khususnya yang berada di peringkat bawah dalam hierarki gaji amat memerlukan pendapatan tambahan,” katanya.