X

Kindly register in order to view this article
!

Membugar kembali sastera Melayu di universiti

KOMSAS untuk pelajar tingkatan empat dan lima. - Sumber: BukuDBP.com
A
A
PADA tahun 2000, Komponen Sastera atau singkatannya KOMSAS diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kurikulum mata pelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah menengah seluruh negara.

Ia suatu langkah yang dipuji ketika itu kerana masyarakat melihat pengiktirafan KPM terhadap hasil kesusasteraan Melayu dan buktinya KOMSAS terus kekal sehingga kini. Menteri Pendidikan pada waktu itu menyatakan dengan tegas bahawa karya sastera tidak boleh diabaikan kerana dalamnya terkandung jati diri, nilai budaya dan sejarah ketamadunan sesuatu bangsa.

Mengambil pedoman daripada pepatah ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’, pengenalan awal karya-karya sastera yang terdiri daripada genre novel, cerpen, drama, prosa tradisional dan sajak terpilih, bertindak ibarat serampang dua mata iaitu memperkenalkan sastera Melayu dan pada masa sama mengambil nilai murni di dalamnya untuk membentuk sahsiah dan keterampilan diri pelajar.

Selepas tamat persekolahan dan memasuki alam universiti, sastera mula menjauh dari kotak fikir pelajar, kecintaan padanya makin luntur dari dalam jiwa dan keghairahan untuk menghayatinya makin pudar.

Justeru, apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek membawa keazaman teguh untuk kesusasteraan Melayu kembali ‘berbunga’ di universiti melalui [email protected], ia satu berita yang menggembirakan khususnya buat karyawan, aktivis, pendokong dan penggiat seni sastera.

Dr Maszlee mahu universiti awam 'menempatkan' Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan ini kepada negara.

Melalui program ini, setiap sasterawan dicadangkan menyumbang kira-kira 10 hingga 30 jam setahun bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang mendekatkan warga kampus dengan Sasterawan Negara seperti Bedah Buku dan Wacana Ilmiah.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri amat menyambut baik langkah menempatkan golongan Sasterawan Negara di universiti awam kerana ia dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengukuhkan Dasar Sastera Kebangsaan agar sastera tidak dipandang sesi dan dipinggirkan masyarakat.

Bagi DBP, cakupan penguasaan ilmu dan pengalaman luas yang dimiliki Sasterawan Negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga menara gading.

Tidak sampai sebulan Menteri Pendidikan mengumumkan usaha ini, nampaknya hampir kesemua 20 buah universiti telah merealisasikannya melalui pendekatan masing-masing seperti akan melantik mereka sebagai Profesor Adjung dan Karyawan Tamu selain dijemput dalam program penghayatan sastera.

Sekadar contoh, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melantik Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said sebagai Sasterawan UniSZA selain mewujudkan Galeri Pak Samad yang menempatkan lebih 100 karya dan dokumentasi tokoh ini di universiti berkenaan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula melalui Pusat Kebudayaan baru-baru ini menganjurkan program Sembang Pohon Keranji bersama Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh di kediamannya di Kajang.

Program yang menyantuni Sasterawan Negara ini diisi dengan pengisian wacana sastera dan budaya, deklamasi puisi dan persembahan seni. Keberadaan Sasterawan Negara di universiti sekali gus menjadikan kecintaan pada sastera Melayu akan terus dipupuk di alam universiti pula.

Karya-karya agung mereka selama ini yang mungkin diam dan tersembunyi di dalam perpustakaan dan rak buku akan kembali digeledah untuk diwacanakan kandungannya secara terbuka dan ilmiah.

Mereka didudukkan di tempat yang selayaknya, dikenali, dihormati dan disanjung tinggi oleh menara ilmu sesuai dengan gelaran agung yang terpangkal di hadapan nama mereka.

Penulis mendoakan semoga enam Sasterawan Negara yang masih ada iaitu A Samad Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Datuk Baha Zain dan Datuk Dr Zurinah Hassan terus diberi kesihatan yang baik untuk bergerak aktif menjayakan usaha murni mendekatkan mahasiswa dengan kesusasteraan Melayu.

* Mohd Zaini Othman ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!