12,380 tahanan PATI dihantar pulang sejak Januari

Ruslin (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata sebagai penghargaan kepada petugas Depot Sementara Sungai Bakap Majlis Penutupan Pengoperasian Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang dan Majlis Berbuka Puasa pada Jumaat.
Ruslin (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata sebagai penghargaan kepada petugas Depot Sementara Sungai Bakap Majlis Penutupan Pengoperasian Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang dan Majlis Berbuka Puasa pada Jumaat.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seramai 12,380 tahanan pendatang tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sejak Januari hingga 29 Mac tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu, 9,606 orang adalah tahanan lelaki manakala 2,774 adalah tahanan perempuan.

Menurutnya, tiga kategori tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen iaitu banduan asing tamat hukuman penjara dan diserahkan kepada Imigresen untuk urusan usir ke negara asal.

"Selain itu, tahanan warga asing yang ditangkap oleh Imigresen atas kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 atau Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta kesalahan-kesalahan Imigresen lain yang masih dalam siasatan kes.

"Depot Imigresen juga menempatkan tahanan warga asing yang diserahkan oleh agensi penguatkuasa lain antaranya polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sebagainya untuk tindakan usir oleh JIM," katanya pada Majlis Penutupan Pengoperasian Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap Pulau Pinang dan Majlis Berbuka Puasa di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat 21 depot di seluruh negara yang mana tiga adalah depot sementara dan 18 depot kekal.

"Daripada tiga depot sementara, kita menutup satu bermula esok (1 April) iaitu Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap selepas dua tahun beroperasi. Ia mula dibuka pada 15 Februari 2021 dan akan diserahkan kepada pemilik Kem Sri Impian, Sri Impian Holidays and Recreation Sdn Bhd.

"Sepanjang beroperasi, depot sementara ini telah menempatkan 2,224 tahanan dengan 62 orang pegawai imigresen bertugas dan dibantu oleh 32 orang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Seramai 33 tahanan terakhir di tempatkan di sini sehingga 5 Februari lalu.

"Ada sebahagian dihantar ke negara asal dan ada yang diletakkan di depot-depot lain," katanya.

Kata beliau, Depot Sungai Bakap disewa bagi membantu Imigresen dalam mengatasi penularan wabak Covid-19 serta kesesakan tahanan di depot seluruh Malaysia.

"Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada proses pengusiran dapat dilaksanakan. Oleh itu, depot sementara ini dibuka untuk menempatkan tahanan-tahanan sepanjang PKP. Selepas PKP, kita sudah mengusir tahanan-tahanan ini ke negara asal mereka.

"Kapasiti sebenar bagi 21 depot tahanan adalah 21,150 PATI namun kapasiti PATI ketika ini hanya 11,650 orang Jumlah ini separuh daripada kapasiti sebenar, bermakna jumlah tahanan berkurangan.

"Oleh itu, bagi menjimatkan kos, kita menutup Depot Sungai Bakap ini manakala dua depot sementara lain, kita belum buat keputusan lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, sehingga 30 Mac, seramai 27,572 majikan dan 322,182 PATI telah memohon Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) setakat ini.

Pada 10 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing.

Kedua-dua perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat pada 31 Disember lalu dan akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta.