Kes denggi di Perak terkawal

Sivanesan (dua dari kiri) menyempurnakan sumbangan mesin dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar pada Jumaat.
Sivanesan (dua dari kiri) menyempurnakan sumbangan mesin dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar pada Jumaat.
A
A
A

KAMPAR - Perak merekodkan peningkatan jumlah kumulatif kes denggi iaitu 774 kes berbanding hanya 146 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 628 kes atau 430.1 peratus bagi tempoh tujuh hari sehingga 25 Mac lalu.

"Peningkatan tahunan daerah Kerian mencatatkan 3,050 peratus apabila 63 kes dicatatkan berbanding tahun lalu hanya dua kes.

"Melihat kepada jumlah kes itu, situasi negeri masih terkawal apabila jumlah kes yang dicatatkan minggu ini masih rendah berbanding negeri-negeri lain selain tidak merekodkan sebarang kes kematian," katanya pemberita pada Majlis Penyampaian Mesin Dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Menurut Sivanesan, faktor musim cuti persekolahan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan jumlah tersebut selain cuaca.

"Jabatan Kesihatan Negeri bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional khasnya pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melaksanakan aktiviti pendidikan serta promosi kesihatan.

"Aktiviti berkaitan pencegahan dan kawalan dipergiat seperti semburan kabus sedang dijalankan dalam menangani demam denggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, sehingga Disember 2022, seramai 12 pesakit sedang menunggu tempat untuk rawatan hemodialisis di Hospital Kampar.

"Seramai 26 pesakit menerima rawatan dialisis setiap bulan dan pihak hospital akan mengemukakan cadangan untuk mengambil seorang atau dua pesakit baru dalam masa terdekat.

"Untuk menjadi partial tiga syif, hospital terpaksa mencari sekurang-kurangnya dua kakitangan tambahan untuk menjaga pesakit dan mesin," katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan Helmi berkata, inisiatif Yayasan VKK menderma mesin dialisis menjadi contoh baik dalam membantu kerajaan menambah baik fasiliti kesihatan masyarakat.

"Bilangan pesakit buah pinggang mencatatkan peningkatan bermakna keperluan rawatan dialisis diperlukan di setiap hospital.

"Jika penyertaan ramai daripada NGO atau sektor korporat dalam menyumbang bukan sahaja peralatan atau mesin, ia memberi banyak manfaat kepada masyarakat," katanya.