[VIDEO] Petisyen Najib kepada UNWGAD sedang diproses - Muhammad Shafee

Muhammad Shafee (tengah) pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.
Muhammad Shafee (tengah) pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) sedang diproses pihak berkenaan.

Justeru beliau berkata, akan ada keperluan untuk Peguam Negara memberi maklum balas kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) kelak.

“Kami akan mengemukakan dokumen selanjutnya termasuk penghakiman minoriti kepada mereka supaya boleh diteliti ekoran ada dapatan penghakiman baharu.

"Kami akan menghantar dokumen lanjut mengenai penghakiman minoriti dan majoriti kepada pihak berkenaan, supaya ia diteliti untuk menentukan yang mana lebih kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding menyemak sabitan dan hukuman bekas Menteri Kewangan itu pada Jumaat.

Pada 5 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Najib memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula berhubung rayuan kes bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon lima pakar keadilan antarabangsa untuk memutuskan bahawa penolakan rayuannya adalah tidak adil dan melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, mengenai kuasa pengampunan Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Muhammad Shafee menjelaskan, keputusan semakan memberi peluang untuk menilai semula penghakiman minoriti yang mengutuk cara kes dikendalikan.

“Ada kemungkinan pasukan pembelaan akan mempertimbangkan tindakan seterusnya di mahkamah tetapi saya tidak akan mendedahkan butirannya sekarang.

“Jadi ini (keputusan) bukan penamat lagi,” ujarnya.

Sebelum ini Mahkamah Persekutuan Putrajaya tidak membenarkan Najib untuk menyemak keputusan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.