[VIDEO] Kes SRC: Tiada lagi saluran rayuan buat Najib

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram (kiri) tiba di Istana Kehakiman. - Foto Bernama
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram (kiri) tiba di Istana Kehakiman. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah ‘kehabisan’ semua saluran rayuan dalam kes rasuah SRC International yang dihadapinya ketika ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang menolak semakan terhadap sabitan dan hukumannya membawa kepada penutupan kes berkenaan.

“Keputusan itu juga secara tidak langsung menunjukkan pertuduhan terhadap Najib adalah sah di sisi undang-undang dan bukannya pertuduhan berunsur politik.

“Pendakwaan ini juga menyatakan tiada sesiapa pun di negara ini berada di atas undang-undang.

“Pendakwaan ini harus menghantar mesej yang tegas kepada semua bakal pesalah bahawa undang-undang akan mengejar anda,” katanya pada sidang akhbar selepas selesai prosiding semakan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang serta Datuk Nordin Hassan termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menyokong untuk menolak rayuan bekas Presiden UMNO itu kerana tidak bermerit.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Rahman Sebli yang mempengerusikan panel mendengar permohonan itu, merupakan satu-satunya hakim yang tidak bersetuju.

Berdasarkan keputusan tersebut, bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun di penjara melainkan mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.