18 ditahan dalam ops pembersihan gelandangan

Gelandangan yang ditahan dibawa ke IPD Kuantan untuk proses dokumentasi sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Gelandangan yang ditahan dibawa ke IPD Kuantan untuk proses dokumentasi sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 18 individu ditahan hasil ops bersepadu pembersihan gelandangan, pengemis dan orang kurang siuman zon Kuantan pada Khamis.

Gelandangan yang ditahan terdiri 12 lelaki dan empat wanita tempatan, seorang warga asing dan seorang kanak-kanak lelaki itu dirujuk kepada pihak agensi berkenaan untuk tindakan selanjutnya selepas selesai proses dokumentasi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tiga individu gelandangan ditahan yang didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan kepada agensi itu untuk proses pengawasan.

Menurutnya, seorang lelaki warganegara Rohingya ditahan pihak Jabatan Imigresen Negeri Pahang untuk dibawa ke Depo tahanan.

"Seorang lelaki gelandangan telah diambil tindakan di bawah Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pahang) 2013 kerana tidak berpuasa.

"Sementara itu, seorang lagi lelaki dibawa untuk ujian saringan air kencing namun didapati negatif bahan terlarang itu," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, selebihnya telah dibebaskan setelah proses dokumentasi selesai dijalankan.

Beliau berkata, operasi melibatkan 60 anggota terdiri pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),JKM, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Kawasan tumpuan operasi selama kira-kira lapan jam itu termasuk sekitar Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Bazar Ramadan Mahkota Square, Bazar Ramadan Stadium Darul Makmur, Pasar Besar Kuantan, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail dan sekitar kawasan Taman Esplanade di sini," jelasnya.