PFAM mahu heret Melaka, Sarawak United ke mahkamah

Izham bersama ahli PFAM ketika Program Buka Puasa PFAM Bersama MAB pada Rabu. - Foto Facebook PFA Malaysia
Izham bersama ahli PFAM ketika Program Buka Puasa PFAM Bersama MAB pada Rabu. - Foto Facebook PFA Malaysia
A
A
A

MELAKA dan Sarawak United FC akan dibicarakan di peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 6 April ini selepas kegagalan dua kelab itu melunaskan tunggakan gaji pemain masing-masing yang bakal menyaksikan tindakan mahkamah menjadi penyelesaian terakhir.

Itu nada tegas Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, selepas kegagalan kepimpinan kedua-dua kelab tersebut memberikan maklum balas dalam usaha entiti berkenaan untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain-pemain sebelum ini.

“Kita sudah hantar beberapa surat kepada Melaka United dan Sarawak United, namun tiada ruang mahupun inisiatif daripada kedua-dua kelab untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Ya, ini sememangnya satu tindakan keras bagi memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji pemain berlaku pada masa depan.

“Jadi, PFAM terpaksa guna langkah seterusnya iaitu undang-undang. Kami harap akan ada satu keputusan daripada perbicaraan NDRC minggu depan sebelum membawa kes ini ke mahkamah.

“Kita mengambil tindakan mahkamah kerana tiada ruang dan inisiatif daripada pasukan terbabit untuk selesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita pada Program Buka Puasa PFAM Bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada Rabu.

Difahamkan Melaka United mempunyai tunggakan gaji lebih RM1 juta manakala Sarawak United pula kurang RM500,000 terhadap 20 pemain yang bernaung di bawah PFAM daripada kedua-dua kelab tersebut.

Sebagai rekod, Melaka United dan Sarawak United sebelum ini disingkirkan daripada Liga Super 2023 apabila permohonan kedua-dua kelab itu untuk Lesen Kebangsaan ditolak berikutan masalah tunggakan gaji musim lalu.