Sindiket seludup minuman keras tumpas, RM5.16 juta dirampas

Misbahudin menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas.
Misbahudin menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang dirampas.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama bernilai RM5.16 juta selepas menyita lapan kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 3 Mac lalu.

Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Marin Sungai Pulai JKDM Johor menemukan minuman keras dalam kontena berkenaan selepas melakukan pemeriksaan pada 6.30 petang.

"Kegiatan penyeludupan minuman keras itu berjaya dipatahkan setelah menerima maklumat dan mendapat kerjasama risikan zon selatan sebelum melakukan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran Borang Kastam 1 (BK1), dagangan yang diikrar adalah alat ganti mesin, tidak sama dengan muatan yang terdapat dalam kontena.

"Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu dan perakuan tidak benar dalam BK1 bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta mengelak dari dikenakan duti import," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai di sini pada Khamis.

Beliau berkata, anggaran barang dagangan yang dirampas adalah bernilai RM922,000 manakala jumlah duti dan cukai terlibat bernilai lebih RM4.16 juta.

Misbahudin (tiga dari kiri) menunjukkan minuman keras yang dirampas selepas sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri pada Khamis
Misbahudin (tiga dari kiri) menunjukkan minuman keras yang dirampas selepas sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Iskandar Puteri pada Khamis

"Lapan kontena yang disita itu dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah keseluruhan dagangan termasuk cukai dan kontena adalah lebih RM5.16 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan tidak berkastam atau barangan larangan," ujarnya

Dalam pada itu, Misbahudin berkata, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak kurang daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.