Peniaga tak serik langgar waktu operasi bulan Ramadan

Hasil pemeriksaan menemui nasi dan air yang siap dibungkus dimasukkan ke dalam plastik kemungkinan untuk kaki ponteng puasa.
Hasil pemeriksaan menemui nasi dan air yang siap dibungkus dimasukkan ke dalam plastik kemungkinan untuk kaki ponteng puasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tidak serik. Itulah yang boleh dikatakan terhadap pengusaha nasi kandar yang masih ingkar terhadap waktu operasi premis makanan pada bulan Ramadan biarpun pernah diserbu penguat kuasa agama sebelum ini.

Malah peniaga memberi alasan bahawa ramai penjual lain turut memulakan operasi lebih awal selain kurang meraih keuntungan jika beroperasi selepas jam 3 petang.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, dalam operasi khas Ramadan kira-kira jam 12.30 tengah itu mendapati terdapat lebih 10 jenis lauk sudah siap dihidangkan di atas rak makanan.

Menurutnya, terdapat juga nasi dan air yang telah siap dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg plastik berkemungkinan untuk dijual kepada kaki ponteng puasa.

Penguatkuasa menemui lebih 10 jenis lauk yang siap dimasak ketika serbuan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari.
Penguatkuasa menemui lebih 10 jenis lauk yang siap dimasak ketika serbuan dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari.

"Ketika disoal, peniaga memberi alasan bahawa mereka kurang untung jika jual lambat selain mempertikai bahawa ramai lagi peniaga yang beroperasi lebih awal tetapi tidak dikenakan tindakan," katanya.

Jelasnya, pengusaha terbabit pernah diserbu tahun lalu akibat kesalahan sama dan diberi amaran agar mematuhi bulan Ramadan serta tidak bersubahat dengan individu yang tidak berpuasa dengan menyediakan makanan sepanjang waktu berpuasa.

Mohd Noor Ismardi berkata, sekiranya dikesan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok dan benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum ataupun dihisap dalam waktu berpuasa boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014.

Selain itu, individu yang dikesan makan atau minum di khalayak ramai pada bulan Ramadan pula boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen sama.

Antara makanan dan minuman yang ditemui ketika serbuan dibuat di sebuah nasi kandar.
Antara makanan dan minuman yang ditemui ketika serbuan dibuat di sebuah nasi kandar.

"Mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,"katanya.

Operasi yang diketuai Penolong Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Hakimin Hassan itu turut disertai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Majlis Perbadanan Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Dalam operasi sama, MPSPK mengeluarkan lima kompaun ke atas premis nasi kandar tersebut membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen perniagaan, memulakan operasi sebelum jam 3 petang, tukang masak dikesan tiada suntikan kesihatan serta tidak mempunyai lesen iklan.

Operasi bermula jam 10 pagi itu turut dijalankan di sekitar bandar Sungai Petani, Bandar Laguna Merbok, Ambangan Heights, Sungai Lalang dan Gurun.