Lelaki Semporna hilang, polis tidak terima tuntutan wang tebusan

Acryl Sani dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di IPK Sabah, di Kota Kinabalu. (Ka Keat yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Perigi, Semporna pada 20 Mac lalu.)
Acryl Sani dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di IPK Sabah, di Kota Kinabalu. (Ka Keat yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Perigi, Semporna pada 20 Mac lalu.)
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis setakat ini tidak menerima sebarang tuntutan wang tebusan membabitkan seorang penyelia kedai emas yang dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu di Semporna.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak polis telah melihat dari pelbagai sudut berhubung kehilangan individu berkenaan termasuk adakah ia berkaitan jenayah culik.

"Sepanjang 10 hari lalu, siasatan dan risikan kita buat akan melihat pertamanya dari sudut jenayah adakah ia merupakan jenayah culik yang menuntut wang tebusan tetapi setakat ini kita tidak terima sedemikian.

"Kita juga akan lihat dari sudut adakah beliau terlibat pinjaman wang daripada ceti, di situ juga kita tidak kesan kegiatan sedemikian dan kita juga lihat dari segi kehidupan peribadi adakah beliau ini ada patah hati duka lara pun tidak ada unsur ke arah itu.

"Begitu juga di tempat kerjanya, sebab beliau bekerja sebagai penyelia di kedai emas milik sepupunya dan kita semak mungkin berlaku perkara yang membabitkan urus niaga, pun setakat ini tidak berkesan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan kehilangan seorang lelaki berusia 31 tahun di Semporna jika ada kaitan dengan elemen jenayah.

Katanya lagi, setakat ini polis masih meneliti dari beberapa sudut dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

"Secara umumnya, kita masih lagi meneliti beberapa sudut yang membawa kenapa beliau menghilangkan diri kerana dia hilang pun bukan secara paksaan tetapi lebih kepada seperti meninggalkan rumah dan terus tidak pulang-pulang.

"Melalui saksi, kali terakhir lelaki itu dilihat menaiki sebuah kenderaan tetapi apabila ditanya kepada saksi tersebut sama ada melihat nombor plat kenderaan, tidak dapat diingati jadi agak sukar untuk meneliti siapa yang menumpangkan lelaki yang hilang ini," katanya.

Sebelum itu, pada 23 Mac lalu Gan Ka Keat dilaporkan hilang selepas keluar daripada rumahnya di Kampung Perigi, Semporna pada 20 Mac lalu.