Nilai semula keputusan ketepikan MB Kedah dalam LIMA'23

Laporan Sinar Harian pada Rabu (Gambar kecil: Nasrun)
Laporan Sinar Harian pada Rabu (Gambar kecil: Nasrun)
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Pas Kedah menggesa kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kembali keputusan untuk tidak melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor dalam acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nasrun Othman berkata, pihaknya sentiasa meneliti isu-isu berkaitan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Kedah.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mendapat makluman bahawa terdapat arahan daripada kerajaan Persekutuan untuk tidak melibatkan Menteri Besar Kedah dalam acara LIMA 2023 di Pulau Langkawi.

"Acara LIMA 2023 merupakan acara yang telah lama diadakan di Pulau Langkawi

"Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah sesekali berkelakuan sepertimana kerajaan Persekutuan sekarang, yang tidak ingin melibatkan Menteri Besar Kedah dalam acara berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengingatkan kerajaan Persekutuan bahawa Pulau Langkawi terletak di Kedah.

"Justeru, adalah tidak wajar acara sebesar LIMA 2023 tidak melibatkan pihak Menteri Besar Kedah," ujarnya.

Tambah Nasrun, pihaknya juga berharap kerajaan Persekutuan sentiasa menghormati semangat federalisme yang diamalkan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor mendakwa beliau dilarang menghadiri sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan.

Bukan itu sahaja, Muhammad Sanusi juga dilarang untuk hadir di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.