Pandang serius peminta sedekah di bazar Ramadan

Salbiah (kiri) bertemu peniaga ketika meninjau Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya pada Rabu.
Salbiah (kiri) bertemu peniaga ketika meninjau Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak memandang serius aktiviti meminta sedekah di bazar-bazar Ramadan khusus melibatkan kanak-kanak di negeri ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, walaupun tiada laporan diterima setakat ini, namun perkara itu tetap dalam perhatian pihaknya.

Menurutnya, isu mengenai peminta sedekah itu bukan hanya ketika bulan Ramadan sahaja tetapi sepanjang masa.

"Setakat ini saya tak dapat respons mengenai perkara tersebut tetapi sebenarnya orang kata bila bulan Ramadan ni bulan yang penuh berkah orang ambil ini sebagai kesempatan untuk meraih simpati.

"(Jika ada sindiket) bukan sahaja di bulan Ramadan, bukan Ramadan juga ada dan akan diambil tindakan terutama melibatkan kanak-kanak sebab ini antara yang menjadi tumpuan dan fokus saya," katanya kepada pemberita ketika ditemui meninjau Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media tentang pengemis warga asing mampu meraih sehingga RM8,000 sebulan daripada hasil aktiviti tersebut di lokasi tumpuan ramai.

Malah dalam laporan Sinar Harian pada 24 Mac lalu, seorang pengemis wanita warga asing hanya memerlukan beberapa jam sahaja untuk mengutip derma mencecah sehingga RM240.

Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata, tinjauan mesra di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah itu dibuat bagi menyantuni usahawan di situ.

Katanya, dengan kehadiran bersama pelbagai agensi berkaitan diharap dapat membantu dari segi keperluan usahawan dan peniaga.