KBS sedia realisasi impian MOM miliki bangunan baharu

Hannah (tengah) bersama Norza (dua dari kanan) semasa program lawatan Menteri Belia dan Sukan itu ke MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: Bernama
Hannah (tengah) bersama Norza (dua dari kanan) semasa program lawatan Menteri Belia dan Sukan itu ke MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersedia merealisasikan impian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memiliki bangunan baharu canggih di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan meneliti cadangan itu sebelum dibawa ke kabinet untuk mendapat kelulusan dan seterusnya dibangunkan.

Katanya, Wisma MOM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur tidak lagi sesuai untuk masa depan kerana kawasan tersebut dikelilingi sekolah dan bangunan komersial termasuk Menara Merdeka 118.

Tambahnya, wisma baharu tidak melibatkan dana KBS sebaliknya MOM akan bekerjasama dengan syarikat pemaju untuk melaksanakan pertukaran aset (land swap) dengan tanah milik kerajaan di Bukit Jalil.

“Kita perlu lihat dahulu tanah projek. Selepas itu model dan diikuti dengan dana. Bagaimanapun, ia perlu kelulusan kabinet. Saya akan mengangkat kertas (cadangan) ke kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat kunjungan ke Wisma MOM di Kuala Lumpur pada Rabu.

Kedatangan beliau disambut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Hannah berkata, sebelum dibawa ke Kabinet beliau perlu mendapat maklum balas dari beberapa agensi berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya perlu maklum balas ini untuk melihat kepada fasiliti dan sebarang kekangan. Apabila ditanya nanti senang untuk difahami.

“Lagi pun di sini juga mempunyai galeri Olimpik yang sebenarnya boleh diakses oleh orang awam, cuma lokasinya sangat kecil.

“Sebagai ahli parlimen di Wilayah Persekutuan saya juga perlu lihat pelan pembangunan Kuala Lumpur dan permohonan bangunan mengikut pelan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Norza memberitahu MOM mahu mengikut jejak langkah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Lausanne, Switzerland yang sudah mempunyai bangunan baharu.

“Saya beranggapan bangunan MOM baharu di Bukit Jalil akan menjadi satu monumen dan kemegahan warga sukan negara.

“Ia juga untuk memodenkan persatuan sukan yang mempunyai pejabat di MOM dengan menyediakan pelbagai fasiliti asas (pejabat, bilik mesyuarat, bilik pentadbiran, muzium dan pusat penyelidikan Olimpik).

“Persatuan juga boleh berjumpa dengan atlet yang berada di sekitar Bukit Jalil. Jadi kita melihat perkara ini untuk mengurangkan kos semua orang. Ia juga untuk elak daripada melakukan pembaziran dengan ada pusat sehenti,” katanya.

Nilai Wisma MOM dianggarkan berjumlah RM100 juta pada 2020 dengan berkeluasan 1.6 ekar ( 0.647 hektar).

Wisma itu menempatkan 14 persatuan sukan kebangsaan, tiga persatuan negeri serta Persatuan Penulis-Penulis Sukan, Persatuan Olimpian Malaysia serta Persatuan Lumba Jalan Kaki.

Tanah bangunan itu yang berkeluasan 0.647 hektarmempunyai tempoh pajakan daripada kerajaan selama 99 tahun sejak 1978 dan akan tamat pada 10 Ogos 2077.