Halang kerja tangkap anjing liar, warga emas akan dituduh

Rakaman insiden yang berlaku di Taman Kanagapuram di Petaling Jaya, tular di media sosial baru-baru ini. - Gambar media sosial (Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin)
Rakaman insiden yang berlaku di Taman Kanagapuram di Petaling Jaya, tular di media sosial baru-baru ini. - Gambar media sosial (Gambar kecil: Mohamad Fakhrudin)
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga emas yang disyaki menghalang penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan tugas ketika operasi menangkap anjing liar akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kertas siasatan berkaitan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Kita telah mendapat arahan untuk tuduh lelaki itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghalang penjawat awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan polis menerima laporan daripada MBPJ terhadap lelaki itu yang membenarkan anjing liar ke dalam premisnya dan menutup pintu pagar.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, pasukan operasi gagal melaksanakan tugas penangkapan anjing liar kerana dihalang lelaki itu.

Terjadi pergelutan antara pasukan penguat kuasa dengan lelaki tersebut sehingga menyebabkan dia terkena batang rod menangkap anjing.

Rakaman insiden yang berlaku di Taman Kanagapuram di sini, tular di media sosial baru-baru ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa MBPJ memberikan penjelasan berhubung tindakan pegawainya dalam kejadian itu.

Menurut Lee, pihaknya juga telah mengeluarkan surat rasmi kepada Unit Integriti MBPJ untuk tindakan mereka berhubung kes tersebut, selain meminta penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai MBPJ semasa menjalankan operasi menangkap anjing.