40 anak yatim teruja berbuka, menginap di hotel

Sebahagian anak-anak yatim yang diraikan oleh Permai Hotel sempena bulan Ramadan.
Sebahagian anak-anak yatim yang diraikan oleh Permai Hotel sempena bulan Ramadan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 40 anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman gembira dan teruja apabila berpeluang berbuka puasa di Permai Hotel, di sini pada Selasa.

Selain dijamu dengan masakan enak berkonsepkan gabungan Melayu Nusantara yang diketengahkan pada bufet Ramadan kali ini, anak-anak yatim itu juga dapat merasai pengalaman bermalam dan bersahur di hotel berkenaan.

Pengurus Besar Permai Hotel, Noralizan Abd Rahman berkata, majlis berbuka puasa tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan Permai Hotel bagi menyantuni golongan kurang bernasib baik.

"Ia juga bertujuan menyemarakkan rasa gembira dan menyeronokkan di dalam suasana menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini.

Noralizan (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan pada Majlis Iftar di Restoran Cahaya, Permai Hotel di Kuala Terengganu.
Noralizan (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan pada Majlis Iftar di Restoran Cahaya, Permai Hotel di Kuala Terengganu.

"Program ini diadakan setiap tahun tapi kali ini berbeza apabila kita turut menyediakan penginapan kepada anak-anak yatim agar mereka dapat merasai pengalaman berbuka puasa, bermalam dan bersahur di hotel bertaraf tiga bintang.

“Kami gembira dapat menyantuni anak-anak yatim ini apatah lagi melihat wajah ceria mereka sepanjang majlis berlangsung," katanya yang turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim berusia antara 9 hingga 18 tahun berkenaan.

Menurut Noralizan, sumbangan wang tunai itu dberikan sebagai salah satu cara untuk memperbanyakkan amalan sedekah dalam perniagaan selain membantu meringankan beban golongan memerlukan.

“Besarlah harapan kami dengan adanya majlis iftar di Restoran Cahaya, Permai Hotel ini dapat memberi impak positif dan sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman buat anak-anak yang diraikan,” katanya.

Beliau berkata, pada bulan Ramadan kali ini, Permai Hotel telah merangka pelbagai inisiatif dengan kolaborasi bersama beberapa agensi lain bagi membantu mereka yang memerlukan dalam usaha mewujudkan sikap cakna kepada masyarakat.

“Saya harap lebih ramai lagi pemain industri khususnya dalam sektor perhotelan dapat bersama-sama berkongsi rezeki demi mengeratkan kasih sayang bersama anak-anak yatim dan asnaf di negara ini,” katanya.