Pemandu lori didenda RM5,000 pindah lembu tanpa kebenaran

Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Besut pada Rabu atas dakwaan memindahkan 20 ekor lembu hidup tanpa kebenaran JPV.
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Besut pada Rabu atas dakwaan memindahkan 20 ekor lembu hidup tanpa kebenaran JPV.
A
A
A

BESUT - Seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memindahkan 20 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Tertuduh, Muhammad Farez Nazwan Abdul Rahaman, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memindahkan 20 ekor lembu menggunakan lori tanpa tanpa mendapat kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu kira-kira jam 8.55 malam pada 11 November tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Terengganu, Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihukum denda RM5,000 dan dipenjara selama lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan bernilai RM39,970 dilucuthak dan menjadi hasil kerajaan.

Berdasarkan fakta kes, pasukan penguat kuasa JPV mengesan sebuah lori dalam keadaan tertutup rapat dengan kanvas warna biru pada bahagian belakang dari arah Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan ke arah Besut, Terengganu yang disyaki membawa ternakan kira-kira jam 8 malam pada 11 November tahun lalu.

Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori mendapati terdapat 20 ekor lembu hidup dan pemandu gagal mengemukakan kebenaran daripada Pengarah Veterinar Negeri Terengganu.