NGO bimbang pasaran gelap rokok elektronik, vape berleluasa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC) bimbang aktiviti pasaran gelap produk rokok elektronik atau vape akan bermaharajalela kerana terdapat pengusaha yang ingin mengelak daripada dikenakan cukai.

Timbalan Presiden MCTC, Roslizawati Md Ali berkata, ia susulan tindakan mengenakan cukai sebelum kerajaan mewujudkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok serta pelaksanaan Generasi Penamat (GEG).

“Jika tiada bentuk kawal selia atau undang-undang akan memberi peluang kepada industri ini berleluasa tanpa sebarang kawalan.

“Lebih memburukkan, jika tiada kawalan terhadap bahan-bahan yang boleh dimasukkan ke dalam cecair rokok eletronik akan meningkatkan risiko bahan larangan termasuk dadah dicampur bersama,” ujarnya dalam satu memorandum pada Rabu.

MCTC mengeluarkan kenyataan tersebut mewakili 70 organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama badan perubatan dan profesional.

Menurutnya, generasi muda terutama yang lahir selepas tahun 2007 terdedah dengan tabiat buruk itu sekali gus bertentangan dengan hasrat kerajaan mengurangkan penggunaan rokok elektronik dan mewujudkan GEG.

“Masalah tabiat merokok atau vaping memberi beban besar kepada kewangan negara sekiranya tidak dibendung secara berkesan lagi di bawah Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada.

“Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula langkah memulakan kutipan cukai ke atas produk rokok elektronik dan vape termasuk yang bernikotin sehingga RUU dan pelaksanaan GEG ini berjaya digubal bersama secara bipartisan oleh ahli-ahli Parlimen,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan sudah tidak ada alasan lagi untuk melengahkan RUU tersebut kerana majoriti ahli Parlimen termasuk barisan pembangkang telah pun menyatakan persetujuan untuk memberi sokongan.

“Seluruh rakyat Malaysia yang majoriti besar menyokong RUU dan GEG agar dapat bersama-sama mendesak kerajaan segera menggubal undang-undang ini demi kesejahteraan negara,” katanya.