Benteng Harimau Malaya kembali kukuh

No Image Caption
A
A
A
SKUAD Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menjelang aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam apabila kembali diperkuatkan dengan kehadiran dua tonggak pertahanan pada pertemuan di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

Khidmat Aidil Zafuan Abd Radzak (pertahanan tengah) dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (pertahanan kiri) yang sebelum ini terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan kini kembali cergas dalam membantu memantapkan barisan terakhir skuad negara selepas sekadar meraih keputusan seri 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe, mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan selain kembalinya pertahanan kanan, Muhammad Syahmi Safari daripada penggantungan satu perlawanan nyata memberi kelegaan kepadanya untuk berdepan aksi lebih sengit di Hanoi.

“Kita harap dengan kembalinya tiga benteng pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas selain bijak memanfaatkan peluang, jadi saya ingatkan pemain agar sentiasa fokus selain mengelakkan kubu negara tidak dibolosi,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Hanoi, hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi pada aksi sebelum ini, namun bergantung kepada keadaan pada hari perlawanan.
Artikel Berkaitan:


"Secara keseluruhannya tidak ada apa yang perlu dirisaukan cuma pemain perlu terus memberikan komitmen terbaik masing-masing sebagaimana mereka bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 Selasa lalu.

“Malah pemain juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti,” ujarnya.