Natxo Insa kembali perkuat Harimau Malaya

Natxo Insa (kanan) kembali berada dalam senarai pemain Harimau Malaya.
Natxo Insa (kanan) kembali berada dalam senarai pemain Harimau Malaya.
A
A
A

TONGGAK tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa kembali memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pada 14 dan 20 Jun ini.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Sepanyol itu sebelum ini pernah membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa berdepan Mongolia pada 2018.

Bagaimanapun, kelibatnya selepas itu bersama pasukan kebangsaan 'hilang' biarpun beraksi cemerlang bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia.

Dalam pada itu, menerusi senarai pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), seramai 27 pemain akan diuji dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu.

"Pengendali skuad negara, Kim Pan-gon mengekalkan seramai 17 pemain sebelum ini yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru pada Mac lalu.

"Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck.

"Tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah," kata FAM dalam kenyataan pada Rabu.

FAM turut mengesahkan kapten Harimau Malaya, Dion Cools terlepas aksi persahabatan kali ini kerana akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh tersebut.

"24 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain tersebut," kata kenyataan itu.