'Rindu harga ayam yang dulu'

Azniza menyusun nai ayam di gerainya di bazar Ramadan Stadium Paroi.
Azniza menyusun nai ayam di gerainya di bazar Ramadan Stadium Paroi.
A
A
A

SEREMBAN - Harga sekilogram ayam yang masih tidak menentu bukan saja membebankan pengguna tetapi juga peniaga makanan.

Peniaga makanan di daerah ini mendakwa dalam tempoh seminggu, sekurang-kurangnya empat kali harga sekilogram ayam akan berubah dan keadaan itu menyukarkan mereka membuat pengiraan kos.

Malah untuk lebih jimat, mereka membeli ayam di pasar raya kerana ia lebih murah berbanding yang dijual di pasar harian.

Peniaga nasi lemak ayam, Azniza Aziz, 31, berkata, jika di pasar raya, dia masih boleh membeli ayam dengan harga RM9.20 ke RM9.50 sekilogram berbanding di pasar harian yang mencecah sehingga RM11 sekilo.

"Bukan saja untuk berniaga, tapi untuk makan di rumah pun saya akan beli ayam di pasar raya kerana harganya lebih murah.

"Sekarang ini kita betul-betul kena berjimat. Sudah semestinya sebagai peniaga kita nak untung, tetapi tidaklah sehingga membebankan pelanggan," katanya.

Ujarnya, masyarakat sangat menanti-nantikan jalan penyelesaian daripada kerajaan berhubung harga ayam kerana dilihat tidak berkesudahan.

"Nak dapat harga sekilogram ayam macam dulu yang kurang RM8 memang mustahil, tapi setidak-tidaknya turunlah ke paras yang tidak membebankan orang ramai," katanya.

Gambar dari kiri: Syahril Huda, Azniza, Zainudin
Gambar dari kiri: Syahril Huda, Azniza, Zainudin

Zainudin Misran, 46, pula berkata, meskipun harga ayam yang tidak menentu di pasaran, namun harga nasi dan saiz ayam yang dijualnya tetap sama.

Bagaimanapun dia mengakui keadaan itu agak menyukarkan peniaga untuk membuat anggaran perbelanjaan membeli barang mentah tersebut.

"Kalau dulu boleh lagi nak dapat ayam sekilogram RM8. Tapi sekarang memang tak dapatlah dan setahu saya paling murah pun RM9.

"Harga itu tak menentu, susah kami nak kira untung, rugi. Harga ayam berubah-ubah, tapi akan setiap hari saya nak ubah harga nasi ayam dan kebab saya?," katanya.

Sudahnya kata Zainudin, dia terpaksa menyerap lebihan kos tersebut dengan harapan keesokannya harga ayam akan turun semula.

Peniaga nasi kandar, Syahril Huda Shamsudin, 44, berkata, harga ayam yang ada kalanya mencecah RM11 sangat membebankan terutama bagi peniaga yang produk utamanya adalah makanan berunsurkan ayam.

"Kadang-kadang nak letak harga makanan pun risau takut orang cakap mahal sangat.

"Tapi sebenarnya kami terpaksa tanggung kos tinggi bahan mentah yang harganya tak menentu di pasaran," katanya.

Sementara itu Anisa Non, 49, berkata, harga ayam yang tidak menentu di pasaran menjadi cabaran utama kepada para peniaga makanan hari ini.

Justeru itu dia sangat berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah harga ayam ini secara menyeluruh dan bukannya hanya pada musim tertentu saja.

"Biasanya bila orang kecoh harga ayam melambung tinggi, ia akan turun sekejap. Sama juga pada musim perayaan, bila ada skim kawalan harga. Tapi selepas itu kembali pada harga asal.

"Seingat saya, sebelum ini harga ayam itu memanglah naik, tapi tidaklah melampau macam sekarang sehingga mencecah RM11 jika dibeli di pasar harian," katanya.

Anisa berkata, dia rindu dengan harga ayam yang dahulu tetapi percaya agak mustahil untuk dilaksanakan sekarang namun berharap sekurang-kurangnya harga itu dapat dikurangkan kepada RM8 sekilogram.