Pengemis warga Thailand 'berkampung' di Kota Bharu

Membawa kanak-kanak dipercayai untuk meraih simpati orang ramai.
Membawa kanak-kanak dipercayai untuk meraih simpati orang ramai.
A
A
A

KOTA BHARU - Bandar Kota Bharu kembali menjadi tumpuan warga asing dari negara jiran Thailand yang bertandang ke negara ini bagi melakukan kegiatan mengemis sepanjang bulan Ramadan.

Kedatangan mereka yang umpama ‘tradisi’ sejak tahun 70-an lalu itu memberi imej buruk berterusan kepada negeri Kelantan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, golongan tersebut sudah mula memasuki negeri ini dengan menggunakan pas lawatan sebagai pelancong paling kurang dua hari sebelum Ramadan.

Menurut beliau, mereka menggunakan pelbagai taktik licik seperti memakai pakaian lusuh dan membawa kanak-kanak bagi meraih simpati orang ramai selain ada kalangan orang kurang upaya.

“Mereka ini menjadikan tempat tumpuan seperti Masjid Muhammadi, bank-bank dan bazar Ramadan untuk mengemis.

Seorang wanita Thailand (tengah) menangis ketika didekati pihak berkuasa.
Seorang wanita Thailand (tengah) menangis ketika didekati pihak berkuasa.

“Mereka juga tidur di kaki lima sehingga menyebabkan kekotoran dan menimbulkan rasa tidak senang kepada pengunjung,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Banteras Pengemis dan Gelandangan, di sini, pada Selasa.

Pada operasi terbabit, 14 pengemis termasuk lapan warga Thailand berusia 46 sehingga 70 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditahan oleh pasukan penguatkuasa.

Operasi disertai 24 anggota termasuk MPKB-BRI, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Rosnazli berkata, golongan ini mengaut pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit hasil daripada sedekah dan sumbangan orang ramai yang bermurah hati.

“Keadaan juga menimbulkan keadaan seolah-olah kerajaan tidak prihatin sedangkan mereka adalah warga asing yang mengambil kesempatan mengemis di negara ini.

“Ada yang berselindung di sebalik perniagaan kerepek dan dipercayai melibatkan sindiket yang didalangi ejen-ejen,” katanya.