Lelaki mengaku kelar ibu, adik diperintah ke Hospital Permai

Muhammad Hidayat (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
Muhammad Hidayat (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berdepan hukuman penjara 80 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua tuduhan mengelar ibu dan adik kandungnya sehingga parah.

Tertuduh, Muhammad Hidayat Abu Samad, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagaimanapun Hakim Mohd Sabri Ismail menangguhkan hukuman terhadapnya bagi menunggu laporan pemeriksaan kesihatan dan memerintahkan tertuduh mendapatkan rawatan di Hospital Permai Johor Bahru.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan cedera parah dengan menetak menggunakan pisau potong daging terhadap ibu dan adiknya, Sapiah Abdul Kadar, 49, dan Noor Iman Dania Abu Samad, 11.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah di sini pada 10 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat beberapa isu berkaitan keadaan mental dan kesihatan tertuduh mengikut Seksyen 342(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mohd Sabri pada penghakimannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 19 April depan sebagai sebutan semula kes.