Kerja tambah baik kini 70 peratus siap

Abdul Raof Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan status kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) berada pada tahap 70 peratus siap sehingga jam 5.30 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Di samping itu, beliau berkata, Air Selangor juga akan berusaha untuk mempercepatkan proses pemulihan kepada semua pelanggan yang terjejas.

"Segala usaha sedang diambil oleh Air Selangor bagi mempercepatkan kerja-kerja penambahbaikan dan meminimakan tempoh gangguan.

"Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan ini amatlah dihargai dan pihak kami akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa," katanya menerusi kemas kini di laman Facebook rasmi Air Selangor hari ini.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan mengenai gangguan bekalan air sehingga 86 jam di sekitar kawasan Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di LRA SSP2.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago turut memaklumkan pelaksanaan kerja penambahbaikan oleh Air Selangor ini perlu dibuat dengan segera bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik untuk mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

Difahamkan, henti tugas LRA SSP2 ini akan menyebabkan gangguan bekalan air bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun dan 4,143,465 pengguna di 557 kawasan akan terkesan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia