Jangan keliru antara GLC, badan pengawal selia - Anthony

Anthony ditemui selepas melancarkan Konvensyen DAP Negeri Selangor 2023 di Klang pada Ahad.
Anthony ditemui selepas melancarkan Konvensyen DAP Negeri Selangor 2023 di Klang pada Ahad.
A
A
A

KLANG - DAP membalas kritikan terhadap kerajaan berhubung isu pelantikan politik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan badan pengawal selia.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak terbabit tidak seharusnya keliru antara syarikat berkaitan kerajaan dengan badan pengawal selia.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengotakan janjinya untuk tidak melantik ahli politik ke dalam GLC dan syarikat-syarikat utama yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, Anthony yang juga merupakan Menteri Pengangkutan menegaskan terdapat kelonggaran yang diberikan apabila pelantikan itu melibatkan badan berkanun dan kawal selia.

“Kita beri sedikit fleksibiliti pada badan berkanun, umpamanya Felcra dan juga lembaga-lembaga pelabuhan. Itu memang selama ni ada pelantikan ahli politik.

“Kita sudah tentu akan beri fleksibiliti ini kepada Perdana Menteri untuk mempertimbangkan pelantikan-pelantikan supaya pemimpin parti pelbagai peringkat juga boleh membantu memainkan peranan.

“Tapi one clear distinction (perbezaan yang jelas) ialah syarikat-syarikat GLC utama, sebab sekarang ini nampaknya ramai orang dah macam campur adukkan apa tu GLC tetapi yang dilantik sekarang ini bukan syarikat tetapi badan berkanun, lembaga-lembaga dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Konvensyen DAP Negeri Selangor 2023 di sini yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat sepucuk surat memaparkan jawatan tertinggi dalam GLC didominasi beberapa ahli politik di bawah Kerajaan Perpaduan tular di media sosial.

Menerusi surat didakwa daripada Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri bertarikh 17 Mac itu, pelantikan itu melibatkan pengerusi dan ahli lembaga pengarah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bekas Ahli Parlimen Kapar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tekun Nasional.

Salinan surat yang mengandungi kepala surat Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu turut menamakan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Parti Amanah Negara, Mohd Sany Hamzan dilantik sebagai timbalannya.

Pada masa sama, bekas Presiden UPKO, Bernard Dompok dilantik sebagai Pengerusi SME Corp, yang juga berada di bawah kementerian sama.