Dua penyamun dicekup dalam tempoh enam jam

Antara barang yang dirampas polis.
Antara barang yang dirampas polis.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis hanya memerlukan enam jam sebelum berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Parit Sulong pada lewat malam Sabtu dan awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 29 tahun itu ditahan sekitar 3 pagi Ahad, di kawasan Parit Sulong.

Ismail berkata, ketika ditahan, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,025, sebilah parang, sabit dan beberapa telefon bimbit yang diperolehi daripada kegiatan samun berkenaan.

“Pada 25 Mac, sekitar 11.30 malam kita menerima laporan polis daripada seorang pemilik sebuah kedai menjual telefon bimbit mendakwa disamun dua lelaki yang tidak dikenalinya.

“Kemudian, pada 26 Mac, jam lebih kurang 2.30 pagi, satu lagi laporan polis diterima daripada pemilik sebuah kedai menjual telefon bimbit dan peralatan komunikasi yang menyatakan kedainya telah disamun pada jam lebih kurang 9.30 malam.

“Sepasukan polis telah menjalankan siasatan di kedua-dua tempat kejadian dan mendapati salah seorang mangsa telah mengalami kecederaan akibat dipukul oleh salah seorang suspek dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan juga kedua-dua mangsa mengalami kerugian wang tunai, beberapa buah telefon bimbit dan peralatan di juga dirosakkan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Ujian saringan awal air kencing juga dijalankan dan mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan salah seorang mempunyai rekod jenayah.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke hadapan majistret dan mendapatkan perintah tahanan reman selama lima hari.