Pemilihan sukan Sukma dibuat secara terbuka

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menjelaskan pemilihan jenis sukan ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) dibuat secara terbuka menerusi penglibatan semua pemegang taruh di peringkat pusat dan negeri tanpa sebarang prejudis kepada sukan-sukan lain.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan penetapan sukan yang dipilih dibuat secara bersama.

"Sebagaimana semua sedia maklum, Sukma adalah sukan bertemasya yang dianjurkan setiap dua tahun, dikhaskan untuk atlet-atlet muda negara berumur di antara 12 hingga 21 tahun dan penyertaan ke Sukma adalah menerusi Majlis Sukan Negeri-Negeri di bawah kelolaan setiap Kerajaan Negeri masing-masing.

"Semua keputusan membabitkan jenis dan jumlah sukan yang dipertandingkan, diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dianggotai semua 14 Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri selain wakil daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mewakili persatuan-persatuan sukan kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai rakaman video Setiausaha Agung Persatuan Kabaddi Malaysia, Peter Gopi yang membangkitkan isu pemilihan jenis sukan untuk Sukma kali ini.

Menurut Shapawi, jawatankuasa telah menerima rumusan Bengkel Transformasi Sukma disertai wakil Majlis Sukan Negeri-Negeri serta Kementerian Pendidikan pada 16 hingga 18 Februari lalu yang membawa kepada pemilihan 28 jenis sukan berdasarkan empat asas pemilihan.

"Pertama ialah sukan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan atlet negara layak menyertainya secara merit. Kedua ialah sukan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Asia/ Sukan Komanwel di mana atlet negara mempunyai potensi prestasi meraih pingat.

"Selain itu, sukan yang tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik tetapi dipertandingkan di Sukan Asia/ Sukan Komanwel dan atlet negara mempunyai potensi meraih pingat.

"Justifikasi yang keempat ialah sukan popular dan dipelopori sebilangan besar rakyat Malaysia, dipertandingkan di dalam struktur pertandingan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) serta mempunyai kemudahan infrastruktur sedia ada di kebanyakan sekolah, premis kerajaan mahupun swasta di seluruh negara," katanya.