Mengantuk punca kemalangan maut

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PEKAN - Kecuaian pengawal keselamatan yang memandu dalam keadaan mengantuk dipercayai menjadi punca mengakibatkan kenderaan itu merempuh seorang pejalan kaki sehingga maut di Kilometer 55 Jalan Nenasi-Rompin berhampiran Merchong di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, mangsa yang merupakan warga Rohingya meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pengawal keselamatan, Mohamad Aizuddin Karim, 27, mengalami kecederaan.

Isterinya kepada Mohamad Aizuddin, Nor Katinah Mamat, 33, ditemukan lemas di sungai terbabit selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam sungai di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Proton Saga bersama penumpang dalam perjalanan dari Pekan menghala balik ke Rompin.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai mengantuk lalu terbabas ke kiri dan terlanggar pejalan kaki yang berada di tepi jalan.

"Pemandu kenderaan terbabit kemudian memulas stering ke kanan lalu terbabas masuk ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu akibat kemalangan pejalan kaki dan penumpang kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Pekan untuk bedah disiasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.