Pejalan kaki maut, wanita dikhuatiri lemas kereta terjunam ke sungai

Keadaan lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang pejalan kaki di Jalan Nenasi - Rompin berhampiran Merchong pada Sabtu.
Keadaan lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang pejalan kaki di Jalan Nenasi - Rompin berhampiran Merchong pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Seorang pejalan kaki maut manakala seorang wanita hilang dikhuatiri lemas selepas sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Nenasi - Rompin berhampiran Merchong di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.47 pagi itu, lelaki terbabit mati di lokasi kejadian selepas dilanggar sebuah kereta dinaiki wanita dan seorang lagi lelaki sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai, menyebabkan penumpangnya hilang dikhuatiri lemas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi diarahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta yang melanggar seorang lelaki pejalan kaki sebelum kereta terbabit terbabas ke dalam sungai dan terdapat dua mangsa di dalam kereta berkenaan.

“Pemandu kereta iaitu seorang lelaki selamat dan hanya mengalami cedera ringan, manakala penumpang wanita terjatuh ke dalam sungai bersama kereta.

"Difahamkan mangsa dikatakan dapat keluar dari kereta, namun dihanyutkan oleh arus sungai,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat lelaki terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.

“Operasi SAR dilakukan di sekitar sungai terbabit dengan bantuan lima anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuantan serta tiga anggota dari BBP Rompin bersama sebuah bot penyelamat,” katanya.