[VIDEO] Dakwa cuai, lelaki tuntut hospital perjelas kematian isteri

Souk Siong (tiga dari kanan) dan Kian Nam (empat dari kanan) ketika sidang media bagi menuntut penjelasan mengenai kematian Mee Hwan (gambar kecil) pada Sabtu.
Souk Siong (tiga dari kanan) dan Kian Nam (empat dari kanan) ketika sidang media bagi menuntut penjelasan mengenai kematian Mee Hwan (gambar kecil) pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Bapa kepada tiga anak menuntut sebuah hospital swasta di sini bertanggungjawab ke atas kematian isterinya pada Januari lalu selepas dipercayai berlaku kecuaian perubatan sehingga menyebabkannya maut.

Ngan Souk Siong, 43, turut mendakwa pihak berkenaan juga dipercayai gagal melaporkan punca kematian sebenar dalam sijil kematian isterinya, Lim Mee Hwan, 39, selain memberikan maklumat mengelirukan (misleading) supaya siasatan bedah siasat tidak dilakukan.

Mengulas kejadian 10 Januari lalu, beliau memberitahu hadir bersama isterinya ke hospital berkenaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan lanjut kerana isterinya disyaki mempunyai ketumbuhan dalam perut dan pembedahan dilaksanakan pada keesokan harinya.

"Isteri saya kemudiannya dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) dan doktor memaklumkan pembedahan tersebut gagal kerana berlaku pendarahan. Kami diminta pula merujuk hospital swasta lain di Kuala Lumpur kerana pembedahan tidak boleh dilakukan di situ.

"Bagaimanapun, hospital berkenaan juga menolak untuk meneruskan rawatan dan kami mencadangkan supaya isteri dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian kerana doktor terlibat memberitahu isteri saya stabil," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Peguam Ng Kian Nam & Partners pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Souk Siong berkata, beliau sempat bertemu isterinya pada 12 Januari lalu dalam wad biasa namun mendapati keadaannya lemah sebelum dihantar semula ke ICU kerana semakin kritikal.

"Pada jam 4.07 petang hari yang sama, isteri saya meninggal dunia, doktor yang merawatnya menyatakan isteri saya mengalami darah beku dalam saluran paru-paru namun saya tidak berpuas hati kerana percaya ia bukan punca kematiannya.

"Sebaliknya, saya syaki kematian isteri saya berpunca daripada kegagalan pembedahan yang dilakukan oleh doktor berkenaan. Isteri saya datang ke hospital itu dalam keadaan sihat tanpa penyakit kronik, tetapi akhirnya bawa pulang jasad tidak bernyawa.

"Justeru, saya mahu pihak hospital bertanggungjawab ke atas kematian isteri saya dan laporan polis mengenainya telah dibuat bagi menuntut keadilan, pampasan dan mahu mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Souk Siong (kanan) dan Kian Nam (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pada Sabtu.
Souk Siong (kanan) dan Kian Nam (dua dari kanan) ketika sidang akhbar pada Sabtu.

Sementara itu, peguam, Ng Kian Nam berkata, surat meminta penjelasan mengenai kes anak guamnya itu telah diserahkan kepada pihak hospital dan dua doktor yang terlibat.

"Mereka diberikan masa tujuh hari untuk menjelaskan perincian kes ini dengan penuh tanggungjawab kerana ia melibatkan kematian yang sudah lebih dua bulan. Tiga anaknya yang berumur lapan, 11 dan 13 tahun telah kehilangan ibu mereka pada usia yang masih kecil.

"Kita juga mahu pihak polis melakukan siasatan lanjut terhadap kes ini, kalau pihak berkenaan menyembunyikan atau menulis punca kematian yang mengelirukan atau bukan punca sebenar ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

"Kami juga akan membuat aduan kepada Persatuan Perubatan Malaysia untuk meminta mereka menyiasat sama ada doktor tersebut masih sesuai untuk melakukan tugas sebagai seorang doktor ataupun tidak," katanya.