Lelaki tinggal dalam pondok usang akan dibantu - ADUN

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Adhan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Mohd Adhan
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang lelaki yang tinggal di dalam khemah zink di Taman Pewira, Batu 11, Batu Gajah di sini akan dibantu mengikut keperluannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata, kes berkenaan ialah kes terpencil yang berlaku berikutan kelewatan bantuan kerana kesilapan komunikasi.

“Kita membantu semua orang jika ada maklumat berkaitan mereka yang memerlukan pasti akan dibantu.

“Pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) juga sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang kesempitan hidup untuk datang mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, tahun lepas, beliau membantu tiga keluarga bagi mendirikan rumah di bawah Skim Rumah Duafat di kawasan DUN Bukit Bunga.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kesedihan seorang bapa enam anak yang hidup bersendirian di dalam sebuah khemah zink yang didirikan sendiri sejak enam tahun lalu.

Zakaria Othman, 58, menghidap sakit jantung, paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, saraf dan buah pinggang menyebabkan dia tidak dapat meneruskan kerja mengambil upah menebas rumput dan memotong pokok yang dilakukan sebelum ini.