Cagaran pinjaman KWSP bantu rakyat jika tanpa faedah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan membebankan rakyat sekiranya tiada kadar faedah atau keuntungan dikenakan ke atas peminjam.

Penganalisis ekonomi dari Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan sepatutnya melaksanakan inisiatif itu tanpa mengenakan sebarang kadar faedah kerana ia sangat tidak pratikal

"Namun perkara tersebut perlu mendapat persetujuan daripada pihak bank.

"Oleh itu, saya berpendapat terpulang kepada KWSP untuk berjumpa dengan institusi kewangan di negara ini bagi membincangkan perkara tersebut.

"Kalau bank boleh bagi pinjaman tanpa kadar faedah itu lebih baik untuk membantu rakyat. Persoalannya bank macam mana kerana mereka juga melakukan perniagaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, kadar faedah (konvensional) atau keuntungan (Islamik) bagi kemudahan untuk ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan itu dijangka sekitar empat hingga lima peratus setahun.

Menurut Anwar, kadar faedah sebanyak empat hingga lima peratus yang dikenakan itu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar lapan hingga 15 peratus.

Tambah Aimi Zulhazmi, kadar faedah yang diberikan itu akan membebankan rakyat kerana jumlah bayaran yang dikenakan kepada mereka masih lagi tinggi.

"Contohnya, kita pinjam RM10,000, kadar faedah diberikan adalah empat hingga lima peratus, kalau lima tahun sudah jadi 25 peratus iaitu sebanyak RM2,500, jadi jumlah keseluruhan meningkat kepada 12,500.

"Bagi orang yang tidak berkemampuan peningkatan sebanyak RM2,500 itu adalah sangat banyak dan saya pasti ia tidak dapat membantu meringankan beban rakyat," ujarnya.