Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebas

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KANGAR - Mahkamah Sesyen Kangar hari ini memutuskan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan mencabul seorang remaja perempuan bawah umur pada Oktober tahun lalu, apabila pengadu yang hadir ke mahkamah sebagai saksi kelima menarik balik tuduhan terhadap tertuduh.

Memetik laporan Astro Awani, Ketua peguam bela Shahidan, Zamri Ibrahim menjelaskan bahawa Hakim Ainul Shahrin Mohamad memutuskan tuduhan ke atas anak guamnya digugurkan selepas pengadu yang juga seorang remaja bawah umur hadir memberikan keterangan dan menarik balik tuduhannya ke atas tertuduh.

Tambah Zamri, pihak pendakwaan juga tidak berhajat untuk memanjangkan proses perbicaraan dengan memanggil enam saksi lagi.

“Keputusan pihak pendakwaan tak teruskan dengan pendakwaan (kerana) pihak pengadu buat keputusan untuk tarik balik aduan. Jadi terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana tarik balik.

“Sebenarnya keputusan mahkamah adalah untuk lepas tanpa dibebaskan berdasarkan keputusan pengadu tidak teruskan dengan kes, walaupun kita sudah jalankan tiga orang saksi termasuk pengadu hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perbicaraan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, menampilkan 5 orang saksi iaitu pengurus DSSK Buskers, Azhar Hassan; isteri salah seorang ahli DSSK Buskers, Junaira Mohd Nasir; anggota polis Inspektor Nor Zuki Hussin; pegawai penyiasat Inspektor Abdul Fatah Abdullah dan mangsa sendiri.

Pada 20 Oktober lepas, Shahidan didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, dalam sebuah kereta Toyota Harier, di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada ‪pukul 11.30‬ ‪malam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017‪.

Artikel Berkaitan: