Pelarian Rohingya gagal lari ke Malaysia

Kumpulan pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak terkandas di pantai Lampanah, Aceh Besar, Indonesia pada Februari lalu. - Foto: AFP
Kumpulan pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak terkandas di pantai Lampanah, Aceh Besar, Indonesia pada Februari lalu. - Foto: AFP
A
A
A

YANGON - Pihak berkuasa Myanmar menahan kira-kira 150 pelarian Rohingya yang dipercayai cuba melarikan diri ke Malaysia.

Menurut jurucakapnya pada Jumaat, penahanan kumpulan termasuk wanita dan kanak-kanak itu dibuat di bandar Thanbyuzayat di selatan Yangon.

"Mereka bersembunyi dekat kawasan hutan berbukit antara dua perkampungan.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu menaiki bot dari Rakhine dan merancang untuk meneruskan perjalanan ke Thailand dan seterusnya memasuki Malaysia melalui jalan darat," ujar sumber keselamatan itu lagi.

Pihak berkuasa turut memberkas sejumlah ahli sindiket pemerdagangan manusia dan memburu kira-kira 30 individu lagi.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas pemerintah junta tentera memaklumkan ia akan menerima semula kepulangan etnik minoriti tersebut yang berlindung di Bangladesh seawal bulan depan di bawah program perintis.

Kira-kira 1,500 pelarian Rohingya akan dihantar pulang dan dihantar ke kem transit sebelum ditempatkan semula di 15 perkampungan.

Difahamkan, balai polis akan turut didirikan berhampiran kawasan perkampungan tersebut untuk menjaga keselamatan. - AFP