Peniaga ganggu pengunjung nikmati View Point Wang Kelian

Gerai jualan peniaga mencacatkan pemandangan untuk merakam gambar berlatarbelakangkan mercu tanda View Point Wang Kelian.
Gerai jualan peniaga mencacatkan pemandangan untuk merakam gambar berlatarbelakangkan mercu tanda View Point Wang Kelian.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan negeri Perlis diminta memantau kehadiran peniaga yang membuka gerai jualan di puncak View Point Wang Kelian yang terletak di Taman Negeri Perlis.

Presiden, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, kehadiran peniaga berkenaan didapati menghalang pandangan mercu tanda View Point Wang Kelian untuk pengunjung merakamkan gambar selain mengehadkan ruang untuk menikmati panorama indah di puncak bukit.

Menurutnya, ruang khas bagi menempatkan peniaga terbabit perlu disediakan di tempat bersesuaian berdekatan kawasan tersebut, bukannya berada di puncak.

“SAM menerima beberapa aduan daripada pengunjung yang mengatakan kehadiran sekumpulan peniaga menghalang mereka merakamkan gambar berlatarbelakangkan mercu tanda view point Wang Kelian.

“Pengunjung memaklumkan, gerai jualan peniaga turut mengurangkan ruang untuk menikmati keindahan persekitaran,” katanya di sini pada Jumaat.

Meenakshi berkata, malah peniaga terbabit turut meletakkan kenderaan mereka di kawasan view point, menyebabkan ruang agak terhad untuk pengunjung menikmati udara segar.

“SAM bimbang dengan kehadiran peniaga di kawasan view point kelak menimbulkan masalah sampah dan kebersihan persekitaran.

“Diharap pihak berkuasa yang menguruskan Taman Negeri Perlis mengambil tindakan segera dengan tidak membenarkan lagi peniaga berniaga di kawasan view point,” katanya.

Menurutnya lagi, Jabatan Perhutanan yang menguruskan kawasan berkenaan seharusnya memindahkan peniaga ke kawasan khas yang disediakan berdekatan.

“Sediakan tempat yang sesuai di kawasan berdekatan tempat parkir kenderaan, kita bukan mahu halang peniaga mencari rezeki namun biarlah di tempat yang ditetapkan supaya mudah untuk pihak berkuasa menyelenggarakan sampah dan kebersihan,” ujarnya.

Meenakshi berharap perkara ini tidak dipandang sepi berikutan kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada taman negeri dan telah dikenali ramai sebagai destinasi pelancongan utama Perlis.

“Sepatutnya kawasan yang dikategorikan taman negeri perlu dikawal ketat dan tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan, namun kenderaan peniaga dilihat keluar masuk walaupun diletakkan palang,” katanya.