Tradisi naik harga dan misi kurus badan

Orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian di Pasar Tani Padang Hiliran pada Khamis. - Foto Bernama
Orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian di Pasar Tani Padang Hiliran pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

RUNGUTAN pengguna terhadap kenaikan harga barangan di negara ini setiap kali Ramadan bukanlah asing.

Bagaikan tradisi, setiap kali Ramadan, setiap kali itulah harga barangan akan naik.

Dalam hal ini sebenarnya, peniaga sudah diingatkan lebih awal kenaikan harga barangan dengan alasan ketidaktentuan cuaca sehingga aktiviti pengeluaran bahan mentah mengalami pengurangan 30 peratus.

Begitu juga sayuran, berlaku masalah bekalan ekoran beberapa negeri mengalami masalah banjir.

Bukan sahaja pengguna, peniaga juga mengeluh dengan kenaikan harga barang sehingga mereka terpaksa menaikkan harga.

Mana ada peniaga mahu menanggung kerugian. Sudah tentulah yang perlu menanggung kenaikan berganda tetap juga pengguna.

Sebelum Ramadan lagi beberapa barangan mentah dilaporkan telah mengalami kenaikan.

Sebagaimana dilaporkan harga ayam hidup naik kepada RM8.69 sekilogram empat hari sebelum puasa berbanding RM8.40 minggu sebelumnya. Bawang dan santan pun turut naik harga.

Peniaga turut mendedahkan kenaikan harga beberapa jenis sayuran sehingga RM5, selain ikan atas alasan aktiviti tangkapan berkurangan di bulan puasa. Faktor peningkatan permintaan juga pengaruhi harga di pasaran.

Jadi siapa kata bulan puasa 'bulan kurang makan'? Mungkin kurang tepat pendapat itu kerana berlaku permintaan berganda terhadap bekalan bahan mentah pada Ramadan.

Ini terbukti apabila kerajaan bertungkus-lumus pastikan keperluan cukup untuk tempoh Ramadan dan Aidilfitri.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mengeluarkan sebanyak 2.4 juta telur ayam bagi menampung bekalan tersebut sepanjang tempoh itu.

Pihak berkuasa juga turut mengeluarkan kenyataan 'barangan sudah cukup dan terkawal', tidak lain tidak bukan untuk jamin kesejahteraan rakyat yang bimbang kekurangan bekalan kerana permintaan melonjak.

Bagaimanapun, penguatkuasaan perlu dilakukan untuk mengelak mana-mana pihak cuba memanipulasi harga atau meletakkan harga tinggi sepanjang Ramadan.

Isu naik harga yang tidak pernah turun-turun ini juga menyebabkan rakan penulis syorkan penjimatan dalam perbelanjaan. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk memasak di rumah, dalam masa sama tidak mengelak untuk merasai kemeriahan di bazar Ramadan.

Bagaimanapun, beliau nekad membuat pilihan dilaksanakan kerajaan dengan memilih Bazar Ramadan Rahmah yang menawarkan penjimatan sebanyak 30 peratus atau peniaga yang tawar Menu Rahmah.

Berdasarkan apa dikatakan itu, ternyata peningkatan kenaikan harga barangan beri kesan mendalam terhadap rakyat.

Mereka yang tidak mampu benar-benar cari peluang memilih tawaran lebih murah melalui inisiatif tertentu.

Dengan bebanan dialami sekarang, rakan penulis itu juga tidak lagi lafazkan ikrar untuk turunkan berat badan.

Jika dulu, setiap kali Ramadan setiap kali itulah misi mengurangkan berat badan membara. Tapi empunya badan masih tidak kurus-kurus.

Persoalannya benarkah puasa selama sebulan mampu turunkan berat? Kata rakan penulis, paling tidak pun berat badannya turun tiga kilogram sahaja.

Itu pun tidak bertahan lama kerana sebaik habis Ramadan, jarum penimbang kembali ke angka sama seperti sebelum puasa, kadang-kadang lebih tinggi daripada itu.

Ramadan ini, azamnya berubah mahu menghayati puasa sebenar. Ada benarnya kerana lebih baik utamakan kewajipan besar termasuk mengelak hal yang boleh menyebabkan puasa jadi 'kurus' berbanding misi kuruskan badan.

Penulis percaya, penurunan berat badan boleh berlaku jika kita benar-benar menghayati Ramadan. Walaupun dalam tempoh sebulan sukar dapatkan berat badan ideal, sekurang-kurangnya berat berhasil turun.

Ini kerana penghayatan Ramadan boleh membantu kawal pengambilan makanan berlebihan kerana kita tidak mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu.

Dalam masa sama, ambillah peluang menghayati nasib orang susah khususnya yang terjejas akibat banjir serta mereka yang diuji sebagaimana laporan beberapa hari lalu, apabila pasangan orang kurang upaya memiliki tiga anak terpaksa mencatu makanan.

Mengingati orang susah, ditimpa musibah, sudah tentu wujudkan keinsafan dalam diri. Dengan penghayatan puasa sebenar dan penuh keimanan, semoga kita semua beroleh keberkatan dan keampunan.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian