Tukang jahit gembira tempahan baju raya laris

Hasnah lega tempahan pakaian raya menddapat tempat dalam kalangan orang ramai. (Gambar kecil: Sarimah dan Sabariah)
Hasnah lega tempahan pakaian raya menddapat tempat dalam kalangan orang ramai. (Gambar kecil: Sarimah dan Sabariah)
A
A
A

KUALA PILAH - Tukang jahit di daerah ini kembali menarik nafas lega apabila khidmat menjahit baju raya mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tukang-tukang jahit sibuk menyiapkan pakaian pelanggan dengan pelbagai fesyen agar dapat disiapkan sebelum Syawal menjelang.

Tukang jahit, Sabariah Daud, 38, yang telah menutup tempahan pada Januari lalu berkata, tempahan yang diterimanya kali ini mencecah 100 pasang berbanding tahun lepas hanya 50 pasang.

Katanya, kain batik tular yang dijualnya turut mendapat sambutan hangat daripada pelanggan yang mahukan pakaian sedondon pada pagi Aidilfitri.

"Mereka juga tidak perlu pening kepala kalau nak tempah baju sedondon sebab kita ada pelbagai corak dan pilihan.

"Berhubung upah pula, mereka (pelanggan) sudah maklum mengenainya asalkan jahitan setimpal dengan harga. Kalau murah (upah), jahitan tiada kualiti pun masalah juga," katanya.

Seorang lagi tukang jahit, Hasnah Ismail, 53, turut mengakui khidmatnya masih mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

"Tempahan raya saya dah tutup sejak Disember tahun lepas dan melebihi 100 pasang. Alhamdulillah lebih baik berbanding ketika pandemik Covid-19.

Antara pakaian yang ditempah oleh pelanggan Sarimah.
Antara pakaian yang ditempah oleh pelanggan Sarimah.



"Bagi saya, masih ramai yang memilih 'custom made' berikutan ia menepati cita rasa pelanggan lagipun kebiasaannya pakaian siap mempunyai standard saiz. Ia mungkin tidak sama dengan saiz badan mereka," katanya.

Dalam pada itu, tukang jahit, Wong Ah Chong, 55, berkata, tempahan kali ini lebih baik berbanding tahun lepas walaupun ia tidaklah sebanyak sebelum pandemik Covid-19.

Sementara itu, berbeza pendapat pula bagi Sarimah Mohd Jumaro, 40, dari Felda Raja Alias, Jempol, tidak menolak ramai yang memilih pakaian siap berbanding ditempah kerana harganya lebih murah.

"Bagaimanapun, setakat ini pelanggan tetap saya tidak pernah mengeluh tentang harga bersesuaian dengan kualiti jahitan, tetapi memang betul ramai yang lebih suka membeli baju siap disebabkan faktor harga terutamanya apabila adanya promosi dalam talian," katanya.

Selain itu katanya, dalam tempoh 10 tahun ini hanya empat kali dia menaikkan harga upah jahitan dengan mengambil kira kos harga barang yang semakin meningkat.