Tiga lelaki ditahan curi anak kerang

Tiga lelaki ditahan dalam Ops Kuar di Perairan Assam Jawa, di sini, pada Rabu.
Tiga lelaki ditahan dalam Ops Kuar di Perairan Assam Jawa, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menahan tiga individu termasuk seorang warga asing dan merampas sembilan guni berisi anak kerang dianggarkan bernilai RM5,600 yang dikutip secara haram di Perairan Assam Jawa, di sini, pada Rabu.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, kesemua lelaki berusia 54 hingga 69 tahun itu ditahan dalam Ops Kuar pada jam 1 petang yang melibatkan 14 anggota dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

"Kita turut merampas lima tongkah dipercayai digunakan untuk mengutip anak kerang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Noraisyah berkata, seramai 14 anggota penguat kuasa serta anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor terlibat dalam operasi itu.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merampas guni berisi anak ikan
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merampas guni berisi anak ikan

"Kira-kira 30 individu melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran bagi mengelak daripada ditangkap setelah menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa perikanan.

"Mereka melarikan diri dengan menggunakan sampan yang dipercayai diupah sebagai ‘transporter’ bagi kegiatan jenayah ini ke jeti berdekatan," ujarnya.

Tambahnya, berlaku provokasi daripada pihak yang mengaku sebagai antara individu menjalankan kegiatan tersebut dengan niat mengalihkan perhatian penguat kuasa sementara

sebahagian daripada mereka melarikan diri melalui jalan laut.

Beliau berkata, aktiviti kutipan anak kerang disyaki diseludup ke negara jiran bagi tujuan keuntungan itu merugikan negara dan mengakibatkan kerapuhan keterjaminan makanan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1), Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002, Akta Perikanan 1985," katanya.

Menurutnya, orang awam yang memiliki maklumat berkaitan aktiviti itu diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perikanan Malaysia.

"Kita tidak akan sesekali berkompromi terhadap pelanggaran apa-apa peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!