Baju Raya Rahmah bantu golongan B40

Pemilik Butik Duchess, Mawar Ismail (kiri) bersama tiga lagi pemilik jenama pakaian di Kedah berkolaborasi menjayakan Kedah Rona Raya dengan menjual Baju Raya Rahmah.
Pemilik Butik Duchess, Mawar Ismail (kiri) bersama tiga lagi pemilik jenama pakaian di Kedah berkolaborasi menjayakan Kedah Rona Raya dengan menjual Baju Raya Rahmah.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat pengusaha jenama pakaian di Kedah mengambil inisiatif berkolaborasi menjual Baju Raya Rahmah melalui fesyen 'Kedah Rona Raya' bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) membuat persediaan menyambut dan menceriakan Aidilfitri.

Ia sejajar dengan hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan program 'Baju Raya Rahmah' dalam usaha membantu golongan memerlukan menghadapi persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

Antaranya, jenama Liyana Collection (LYC) menawarkan Baju Raya Rahmah serendah RM35, Nabella Butik (RM39), manakala Duchess Exclusive By CPG dan Qamraa masing-masing (RM59).

Pemilik Butik Duchess, Mawar Ismail berkata, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada semua golongan termasuklah B40 mendapatkan baju raya berkualiti dan bermutu tinggi pada harga murah, sekali gus mengembirakan mereka untuk menyambut Aidilfitri dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Kami menyedari ramai telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak memandangkan sambutan hari raya serentak dengan pembukaan sesi persekolahan 2023/2024.

"Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka melalui harga Baju Raya Rahmah diperkenalkan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Beliau memaklumkan, jualan Baju Raya Rahmah empat jenama itu diyakini masih mampu meraih keuntungan walaupun tidak sebanyak keuntungan jualan harga biasa.

"Memandangkan keadaan ekonomi sekarang ini nampak perlahan dengan anak sekolah dan (sambut) raya, kami rasa tak apalah jual harga Rahmah, barang terjual dan orang pun dapat baju, itu yang penting," katanya.

Menurut Mawar, pihaknya bersedia untuk meneruskan jualan baju pada harga Rahmah meskipun selepas sambutan Aidilfitiri dan berharap dapat berkolaborasi dengan lebih banyak jenama selepas ini.

Pengarah Urusan Qamraa Rabia Saad berkata, pihaknya mengeluarkan pakaian pada harga Rahmah kerana mengambil kira faktor situasi selepas pandemik Covid-19 apabila tingkah laku pembelian pelanggan telah berubah kepada memilih pakaian yang harganya murah berbanding mementingkan aspek jenama.

Beliau menjelaskan, Baju Raya Rahmah keluarannya bercorak lebih ringkas.

"Alhamdulillah, sambutan menggalakkan dan akan menambah lagi pakaian apabila 3,000 stok sedia ada habis," katanya.

Pengurus LYC, Noraizat Abdul Ghani pula berkata, pihaknya akan menambah stok baju dengan reka bentuk dan warna pakaian yang berlainan untuk memastikan pelanggan memperoleh kelainan untuk baju raya sekiranya stok baju Rahmah itu kehabisan.

"Kami ingin memastikan pelanggan ada pengalaman berbeza dengan reka bentuk dan baju yang berlainan," katanya.

Sementara itu, Pengasas Nabella Butik, Siti Nabilah Dol Bahrin berkata, pihaknya turut memfokuskan kepada kepelbagaian reka bentuk pakaian termasuk baju harga Rahmah bagi menawarkan banyak pilihan kepada pelanggan dengan harga mampu milik.

Pada 15 Februari lepas, media melaporkan KPDN berhasrat untuk memperkenalkan program 'Baju Raya Rahmah' dalam usaha membantu golongan memerlukan membuat persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.